PETALING JAYA – Langkah penstrukturan semula gaji penjawat awam terutamanya di peringkat bawahan sehingga 42.7 peratus bertepatan kerana lebih separuh daripada kira-kira 1.6 juta kakitangan awam berada di bawah paras kemiskinan.
Ini kerana kata Pakar Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai, unjuran semasa kadar garis kemiskinan di negara ini kira-kira RM2,208 sebulan.
Malah katanya, kadar gaji minimum RM1,500 yang diperkenalkan sebelum ini juga jauh di bawah kadar garis kemiskinan pada ketika ini.
“Jika kita lihat skim gaji penjawat awam jauh ketinggalan terutamanya dari segi kenaikan dan nilai gaji semasa berbanding sektor swasta.
“Malah ada kakitangan awam ketika ini yang gaji permulaannya adalah RM800.
“Sedangkan pada hakikatya jika kita merujuk kepada keadaan semasa ekonomi dan garis kemiskinan ketika ini, ia berada pada paras RM2,208.
“Jadi, jika kita ukur gaji semasa penjawat awam dan garis kemiskinan ketika ini, lebih separuh kakitangan awam terutamanya golongan pelaksana bergaji bawah pada paras terbabit,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Tambah beliau, gaji penjawat awam juga sudah tidak disemak semula lebih 10 tahun dan hanya bergantung kepada kenaikan tahunan sahaja.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, secara purata, medium gaji pekerja di Malaysia ketika ini adalah sekitar RM2,600 sebulan.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan keadaan ekonomi semasa, setiap keluarga yang sekurang-kurangnya mempunyai dua orang anak memerlukan minimum RM3,100 sebulan.
“Jumlah ini hanyalah untuk menampung keperluan asas harian, tetapi jumlah ini akan meningkat lebih sekali ganda sekiranya mereka menetap dan bekerja di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Lembah Klang.
“Jika jumlah gaji yang diterima pekerja kurang daripada jumlah ini (RM3,100), ia tidak cukup untuk menampung kehidupan mereka ketika ini,”katanya.
Pada masa sama, beliau turut memberitahu, secara purata lebih tujuh juta pekerja di negara ini sama ada kakitangan awam atau swasta mempunyai gaji di bawah RM2,000 sebulan.
“Berdasarkan kajian semasa, terdapat kira-kira 658,000 pekerja di Malaysia yang pendapatannya kurang RM1,500 sebulan dan kira-kira 1.5 juta pekerja bergaji lingkungan RM1,500 sebulan.
“Kira-kira 570,000 pekerja gajinya RM1,500 hingga RM2,000 sebulan. Tetapi secara purata, kira-kira tujuh juta pekerja di Malaysia yang gajinya di bawah RM2,000 sebulan,” katanya.















