fbpx
SEORANG penduduk, Ahmad Shukri Mustafa menunjukkan keadaan rumah yang terbengkalai di Felda Lurah Bilut, Bentong baru-baru ini.

Felda terkenal kini jadi sarang ular, babi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – Penantian lima ge­nerasi Felda Lurah Bilut di sini untuk mendiami rumah baharu ‘makin kelam’ apabila sehingga kini pembinaan kediaman idaman mereka itu masih terbengkalai walaupun sudah sembilan tahun berlalu.

Malah kawasan berkenaan yang terletak di tengah-tengah pusat pembangunan felda itu dipenuhi semak samun dan menjadi ‘sarang’ haiwan berbisa antaranya ular dan babi.

Tinjauan Kosmo! mendapati, hanya ada dua buah rumah contoh yang telah siap, manakala 10 lagi kediaman hanya ada dinding dan sebahagian bumbung.

Ketua Kampung Felda Lurah Bilut, Md. Zulkifli Md. Yunus berkata, perumahan generasi Felda Lurah Bilut yang dimulakan pada 2015 itu melibatkan pembinaan rumah teres dan flat yang boleh menyediakan rumah kepada 616 peneroka.

Felda Lurah Bilut wujud sejak 1958.

“Kediaman ini amat diperlukan generasi baharu yang kini terpaksa menumpang di rumah ibu bapa bersama adik beradik lain.

“Namun sehingga hari ini, ha­nya ada 12 buah rumah dan itu pun tidak siap malah kawasan itu kini ditumbuhi semak,”katanya di sini semalam.

Menurutnya, dia bersama penduduk kampung telah beberapa kali membuat aduan mengenai perkara itu, namun sehingga kini tiada tindakan yang tuntas dilakukan dan tiada jaminan rumah berkenaan akan ­dibina semula.

Justeru, Md. Zulkifli berkata, peneroka felda berharap pihak kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi merealisasikan pembinaan rumah berkenaan yang kini menjadi keperluan kepada lima generasi felda yang mempunyai kira-kira 5,000 penduduk.

KEADAAN pembinaan rumah generasi baharu Felda Lurah Bilut yang terbengkalai di Felda Lurah Bilut, Bentong.

Dalam pada itu, Ketua Blok Felda Lurah Bilut yang juga ge­nerasi kedua Felda berkenaan, Mohamad Kholid Mat Sohor, 67, berkata, dia merupakan salah seorang yang memohon rumah berkenaan dan hampa apabila sehingga kini kediaman tersebut masih belum siap.

“Sekarang kawasan ini bukan sahaja menjejaskan pemanda­ngan di kawasan felda ini, tetapi sudah menjadi sarang babi dan ular yang boleh membahayakan penduduk, malah ada kejadian ular masuk ke dalam kelas di sekolah bersebelahan.

“Saya difahamkan terdapat masalah tanah, tetapi saya pelik kenapa tidak dapat diselesaikan kerana ia melibatkan kepentingan penduduk di sini yang amat memerlukan rumah,” ujarnya.

Sementara itu, generasi keempat felda berkenaan, Khaideel Mohd Khalid, 43, berkata, gene­rasi baharu di kawasan tanah rancangan itu kini berdepan masalah dalam memiliki kediaman sendiri.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan ramai generasi baharu terpaksa menyewa di luar atau berhijrah ke kawasan lain bagi meneruskan kehidupan bersama keluarga.

“Saya sedih melihat keada­an rumah ini sebenarnya, kami dalam kalangan generasi baharu ini amat memerlukan kediaman itu, kerana kami tidak mampu membeli rumah di luar yang menyaksikan kenaikan harga yang begitu tinggi,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN