Pendedahan seorang kerani yang mendakwa bahawa dia terpaksa menjual sebelah buah pinggangnya pada harga RM100,000 demi untuk melangsaikan hutang bapanya dengan along menggamamkan banyak pihak.
Apa tidaknya, cerita-cerita mengenai penjualan organ yang sebelum ini hanya kita dengar sering berlaku di negara-negara seperti China atau India, hakikatnya telah berlaku di negara kita.
Menurut lelaki berusia 31 tahun itu, dia yang terdesak mengambil tindakan nekad mengiklankan buah pinggangnya pada Disember 2022 kerana sudah tidak tahan setiap hari diburu ceti haram, sehinggalah dia berjaya menemui pembeli yang sanggup membayarnya RM100,000, tidak termasuk kos pembedahan transplan RM150,000.
Rasanya, ini bukanlah satu-satunya kes menjual organ yang berlaku di negara ini. Melalui satu kumpulan Mencari Penderma Buah Pinggang, didapati terdapat pihak-pihak yang terdesak secara terbuka menawarkan organ masing-masing untuk dijual kepada pesakit-pesakit yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan organ daripada penderma.
Jadi, tidak mustahil akan ada dalam kalangan pesakit terbabit terutamanya mereka yang mempunyai banyak wang yang sanggup membuat tawaran istimewa kepada pihak-pihak yang terdesak ini.
Bagi melindungi aktiviti jual beli itu, mereka mungkin akan berpakat dengan menyatakan proses transplan yang dilakukan adalah dasar derma organ.
Pihak berkuasa seharusnya memandang serius isu ini. Ia sama sekali tidak boleh dibiarkan berterusan. Ia meliputi kegiatan haram jual beli organ, termasuk pihak yang menjual organ mereka.
Hakikatnya, Malaysia adalah antara 78 buah negara yang menyertai Deklarasi Istanbul pada tahun 2008 yang antara lainnya menekankan larangan penjualan atau pembelian organ.
Oleh yang demikian, sebarang penjualan dan pembelian organ adalah dilarang dan dikira melanggar undang-undang, prinsip ekuiti, keadilan serta maruah insan.
Walaupun penjualan organ itu pada dasarnya dilihat mampu ‘menyambung nyawa’ kepada pesakit, namun ia tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana ia boleh merosakkan nilai serta maruah seseorang insan, walaupun perbuatan menderma secara sukarela dibolehkan.
Kita tidak mahu satu hari nanti amalan ini berleluasa. Bagi mereka yang kaya, sudah tentu mampu menawarkan wang kepada si miskin yang terdesak. Lebih parah jika ia berlaku secara paksa, culik atau bunuh untuk tujuan mendapatkan organ.
Jadi sebelum ia menjadi lebih parah, tangani segera isu ini. Awasi, siasat dan bertindak segera terhadap pihak-pihak yang terlibat meliputi penjual, pembeli serta mereka yang menguruskan urusan pembedahan tersebut.
Bagi mereka yang terdesak, cubalah sedaya upaya mengelak daripada menjual organ. Rujuklah kepada mereka yang boleh membantu seperti pusat zakat, pertubuhan bukan kerajaan atau pihak berkuasa yang dikhususkan untuk membantu golongan terdesak.














