fbpx
HAMPIR 30 tahun memperjuangkan hip-hop, Joe Flizzow melepaskan rasa lega menyaksikan genre muzik kecintaannya tidak sekadar kegilaan sekelompok khalayak sebaliknya kerap beraja di carta industri muzik tanah air.

‘Hip-hop kita mana ada ganas, merepek’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUT sahaja muzik hip-hop, mudah sahaja figura bernama Joe Flizzow mendominasi fikiran.

Berkecimpung dalam dunia hip-hop sejak 1998 atas nama Too Phat yang pernah mencipta satu fenomena tersendiri, sehingga hari ini, anak jati Johor Bahru tidak perlu lagi tercari-cari ruang.

Berada di takhta tersendiri, Joe lega apabila muzik hip-hop kini sebaris irama arus perdana dan diterima tanpa skeptikal pendengar muzik tanah air.

Menurut pemilik nama lengkap Johan Ishak itu, pemuzik hip-hop juga senang cari makan pada zaman kini kerana karya yang dikongsikan lebih diterima pendengar

“Data menunjukkan muzik hip-hop adalah genre yang diterima ramai semua lapisan masyarakat serta usia.

“Sebelum ini ada lagu daripada kumpulan 53 Universe berjudul PP Di Bukit Tabur dan karya tersebut berada di carta kelima dalam negara walaupun tiada sokongan televisyen atau radio.

“Ini menunjukkan tiada diskriminasi untuk artis hip-hop. Orang dah kenal dan cinta dengan genre ini walaupun orang kita anggap muzik ini budaya Barat.

JOE lega apabila muzik hip-hop kini sebaris irama arus perdana dan diterima tanpa skeptikal pendengar muzik tanah air.

“Muzik hip-hop kita mana ada keganasan atau cerita merepek.

“Secara lazimnya memang positif, jadi kami sudah buktikan dalam muzik hip-hop Malaysia,” katanya kepada HibGlam.

Berbicara lanjut, pelantun lagu Satu Malam Di Temasek itu mengakui, perubahan cita rasa pendengar muzik tempatan sudah bertukar ke arah hip-hop.

Katanya, lagu hip-hop juga seperti puisi Melayu yang diluahkan dalam bentuk lagu.

“Zaman sekarang memang evolusi pendengar ke arah hip-hop. Kalau budak empat tahun boleh menyanyi maksudnya lagu tersebut hits.

“Mungkin betul, orang muda lebih sukakan hip-hop dan saya sendiri tidak terkejut rakyat Malaysia sudah mula sukakan genre ini.

“Dalam adat kita sebagai orang Melayu sudah biasa dengan pantun, puisi dan sajak. Semuanya ‘ada’ rap. Hip-hop juga sejenis irama dan puisi,” ujarnya lagi.

BAGI Joe, lagu hip-hop juga seperti puisi Melayu yang diluahkan dalam bentuk lagu.

Tiada jalan pintas

Jika ada anak muda generasi hari ini yang mengikut kata hati menjadi seperti dirinya, lelaki yang terkenal dengan jolokan Mr. President ada pandangan tersendiri.

Katanya, sikap rendah diri perlu ada dalam setiap orang selain tidak berputus asa dalam apa jua yang dilakukan.

“Tiada jalan pintas, tapi pastikan lagu kena bagus. Sesiapa pun walau tiada nama sekali pun kena ada lagu dan produksi yang bagus, tak boleh ambil jalan mudah.

“Insya-Allah, bila kita rendah diri dan kerja keras, akan ada peluang.

“Tak semua lagu saya mencapai hits tetapi apa yang penting kena sabar dan tidak cepat putus asa sehingga saya sendiri tak menyangka lagu Satu Malam Di Temasek boleh bertahan 15 minggu dalam carta,” jelasnya.

Ditanya, benarkah hanya sikap rendah diri pendorong utama kejayaannya, Joe sekali lagi mengakui hakikat tersebut selain tambahnya, hubungan bersama orang sekeliling juga harus dijaga.

“Apa yang saya tahu dan diajar selama ini supaya sentiasa bersikap rendah diri. Dari dahulu hingga kini, saya keluar tanpa pengawal peribadi kerana saya tiada musuh.

“Dalam industri kalau nak pergi jauh, pelaburan paling penting adalah sifat rendah diri dan menjaga hubungan baik dengan semua orang. Tak kiralah jurutera bunyi, penjaga lampu atau penjual air sekali pun perlu dilayan dengan baik.

“Ada artis hanya berkawan dengan artis sahaja, tapi mereka tidak baik dengan jurutera bunyi.

“Tak bolehlah begitu kerana kita pasti akan berjumpa dalam projek lain,” tutur penyanyi berusia 44 tahun itu.

NASIHAT Joe kepada anak muda yang baru berjinak-jinak dalam dunia hiburan supaya bersikap rendah diri dan bekerja keras dalam setiap apa yang dilakukan.

Lebih selektif

Bercakap tentang kreativiti, selepas 26 tahun berkarya dalam dunia seni, Joe mengakui lebih selektif dalam setiap tawaran konsert atau persembahan demi menjaga kualiti dan ‘harga’ muziknya.

“Sejak satu ke dua tahun lepas saya banyak terima persembahan tidak kira di pentas kecil atau besar. Bagi saya penting untuk memilih tempat menyanyi tetapi itu bukan bererti saya menyombong.

“Tujuan saya memilih kerana kadang-kadang sistem audio tidak betul ataupun pihak penganjur serba kekurangan.

“Ini akan beri kesan kepada reputasi dan juga pengalaman saya buat persembahan,” tuturnya yang akan menghiburkan khalayak pada Konsert Divas & Diamonds 2024 di Arena Larkin, Johor 7 September depan.

TIADA jalan pintas dan sentiasa merendah diri, itu pegangan Joe selama hampir 30 tahun dalam dunia muzik.

Legenda

Selain Joe, konsert tersebut bakal dihangatkan dengan kemunculan Datuk Jamal Abdillah, Datuk Rossa dan Dayang Nurfaizah.

Kata Joe, peluang berada sepentas dengan nama-nama besar adalah satu penghargaan buatnya.

“Dapat buat persembahan dengan barisan artis ikon seperti Datuk Jamal, Datuk Seri Rossa dan Dayang Nurfaizah adalah peluang yang hebat. Saya wakili semua pemuzik hip-hop dalam negara.

“Saya tidak pernah berkongsi pentas dengan Jamal, jadi ini satu penghormatan dan penghargaan besar.

“Jamal Abdillah pula seorang legenda dan saya beruntung berkongsi pentas dengannya. Saya akan rasa segan kalau kena buat persembahan sebelum dia,” selorohnya.

Sebelum menutup bicara, Joe berharap kemunculan bersama artis besar dalam Konsert Divas & Diamonds 2024 dijadikan sebagai batu loncatan kepada penyanyi hip- hop lain untuk meneruskan perjuangan agar lebih ke hadapan.

“Sudah semestinya setiap konsert ada kelainan. Rasanya ini pertama kali orang lihat saya tampil bersama band.

“Setiap kali buat persembahan besar bagi saya macam peluang kami layak berada di sini. Kami itu maksud saya ditujukan kepada semua artis hip-hop.

“Saya rasa ini tugasan sebagai veteran dunia muzik untuk buka pintu artis hip-hop tempatan supaya satu hari nanti mereka dapat kongsi pentas dengan nama-nama besar juga,” tutupnya.

 

BUAT pertama kali, Joe akan bersama-sama Jamal Abdillah, Rossa dan Dayang Nurfaizah dalam Konsert Divas & Diamonds 2024 di Arena Larkin, Johor pada September nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN