fbpx
Anak saudara Afnan tidak henti menangis selepas menginap di inap desa berkenaan. ILUSTRASI SHAH HASAN

Kelibat lembaga berambut panjang di inap desa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI meraikan majlis konvokesyen adiknya, Afnan (bukan nama sebenar) ditugaskan mencari sebuah inap desa untuk didiami oleh ahli keluarganya.

Disebabkan mencari pada saat-saat akhir, dia berdepan kesukaran untuk mendapatkan inap desa yang terletak berdekatan universiti di sebuah negeri di selatan tanah air.

“Kebanyakan inap desa di kawasan itu telah ditempah orang lain bagi menghadiri majlis yang sama.

“Bagaimanapun, setelah berusaha mencari di internet, saya akhirnya dapat menempah sebuah inap desa untuk didiami. Harga yang ditawarkan juga agak murah,” katanya.

Tambahnya, dia tidak bertemu dengan pemilik inap desa tersebut dan kunci rumah berkenaan juga hanya diletakkan di dalam peti surat.

Urusan tempahan berjalan lancar dan pada hari kejadian, Afnan dan keluarganya tiba lewat petang di rumah tersebut.

Setibanya di situ, dia dapat merasakan seperti ada aura yang agak lain di rumah berkenaan.

“Sebaik saya membuka pintu rumah, saya terhidu satu bau yang agak busuk.

“Tetapi bau itu secara tiba-tiba menghilang dan kami semua masuk ke dalam rumah tersebut,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, sebaik masuk ke dalam rumah itu, anak saudaranya yang baru berusia setahun mula menangis tanpa henti.

Padahal anak kecil itu langsung tidak meragam ketika di dalam kereta.

Afnan merasakan seperti ada mata yang memerhati mereka di dalam rumah tersebut.

Pada waktu maghrib, anak saudaranya itu semakin kuat menangis seperti ada yang mengganggunya.

Afnan juga menyedari bahawa anaknya yang berusia tiga tahun seperti sedang bermain dengan seseorang di dalam bilik tidur mereka sambil ketawa keriangan.

“Anak saya pada ketika itu sudah boleh bercakap, saya tanya dia sedang bermain dengan siapa?

“Dia kata sedang bermain dengan kawan yang ada di dalam bilik tersebut. Saya dan isteri amat terkejut kerana di dalam bilik itu tiada sesiapa,” ujarnya.

Tambahnya, isterinya sendiri menyatakan bahawa dia dapat rasakan rumah itu seperti menyeramkan terutamanya di bilik tingkat atas.

Afnan memaklumkan hal tersebut kepada bapa mentuanya yang berada di bilik bawah.

Bapa mentuanya kemudian membaca beberapa ayat al-Quran.

Mereka kemudian keluar untuk pergi makan di luar. Setelah keluar dari rumah tersebut, anak saudaranya yang menangis tadi terus berhenti apabila berada di dalam kereta.

Namun, apabila kembali ke rumah tersebut, anak saudaranya kembali menangis seperti ada benda yang mengganggunya.

Afnan berkata, adik iparnya memilih untuk mencari hotel yang berdekatan dan bermalam di situ kerana anaknya tidak berhenti menangis ketika di rumah tersebut.

Menurutnya, dia dan ahli keluarga yang lain kekal bermalam di rumah tersebut.

“Pada malam ini, anak saya naik ke bilik berseorangan dan dia memaklumkan ada melihat kelibat lembaga berambut panjang dan mata merah di tangga.

“Dia menangis apabila melihat kelibat lembaga itu dan menyatakan dia sangat takut,” jelas Afnan.

Malah, isterinya turut mendengar bunyi ketawa yang menakutkan ketika sedang mandi di bilik air.

Afnan mengakui, pada malam itu, dia sendiri tidak tidur lena kerana merasakan suasana rumah berkenaan sangat menyeramkan.

Keesokan harinya, dia keluar untuk mencari sarapan pagi di kedai berhampiran rumah tersebut.

Pada waktu itu, dia sempat berbual dengan penduduk setempat dan memberitahu dia tinggal di rumah itu.

“Penduduk setempat hanya tersenyum. Mereka seperti mengetahui sesuatu.

“Mereka juga menyatakan bahawa rumah tersebut pernah diduduki oleh seorang bomoh. Bomoh itu meninggal di rumah itu dan sakanya masih ada di situ.

“Rumah itu ada disewakan kepada orang lain tetapi tidak bertahan lama. Penyewa lari keluar kerana sering diganggu,” ujarnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN