SEMUANYA berlaku sekitar sedekad lalu apabila dia memilih untuk mendapatkan wang secara mudah, namun lumayan hasilnya.
Pun begitu, jalan dan pilihan yang diambil itu bukanlah solusi penuh kepada masalah yang menghimpitnya kerana ia hanya bersifat sementara.
Lama memendam rasa, Alfie (bukan nama sebenar) mengakui dia terpaksa memilih jalan jijik itu dek kerana masalah kewangan yang dihadapi ketika menuntut di menara gading.
“Saya berasal daripada keluarga serba kekurangan yang dibesarkan di sebuah perkampungan pedalaman di Sarawak.
“Ibu bapa hanya bekerja sebagai buruh dan mengambil upah menjual sayur di pasar. Cuma rezeki Allah, saya dipilih dan diberi kelebihan dari segi akal untuk menimba ilmu ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya memulakan bicara.
Jelas Alfie, peluang dan rezeki untuk menyambung pengajian peringkat sarjana muda di ibu kota bagaikan mimpi buatnya dan segala persiapan dari segi kewangan dilakukan kedua-dua orang tuanya siang dan malam tanpa kenal erti lelah.
Meneruskan kisah, Alfie memberitahu, di kota, dia bertemu dengan beberapa kawan baharu yang rata-rata sama nasib dan latar belakang sepertinya.
“Biasalah kalau belajar di bandar pasti kos lebih tinggi. Mana nak bayar rumah sewa, makan minum, perbelanjaan buku dan lain-lain.
“Jadi saya mengambil inisiatif untuk bekerja secara part time (separuh masa) sebagai barista di salah sebuah jenama kopi terkenal.
“Alhamdulillah wang hasil pendapatan gaji saya mampu menampung perbelanjaan bulanan tanpa meminta dan menyusahkan orang tua di kampung,” katanya.
Dipendekkan cerita, pelanggan yang hadir ke tempatnya bekerja biasanya terdiri daripada pelbagai lapisan orang dan status.
Ada yang kenamaan, selebriti, ahli perniagaan, orang korporat, orang biasa dan macam-macam lagi.
“Satu hari saya diperkenalkan pengurus dan penyelia tempat saya bekerja dengan salah seorang wanita berpangkat ‘datin’.
“Datin tersebut saya memang selalu nampak dia menghabiskan masa bersama rakan-rakan sebaya dan adakala bersama gadis-gadis muda cantik.
“Cuma saya tidak pernah tahu dia seorang datin sampailah diperkenalkan oleh bos ketika itu.
“Beritahu datin tersebut, dia sudah lama memerhatikan saya bekerja dan ada tawaran kerja yang lebih sesuai dan lumayan untuk saya,” katanya seraya teringat semula bibit perkenalan ringkas tersebut.
Jelas Alfie yang dianugerahkan fizikal tampan dan tinggi lampai dengan kulit cerah, beberapa minggu selepas itu, dia ada menghubungi datin itu menerusi kad nama yang diberikan tempoh hari.
Perjumpaan pertama kali Alfie dengan datin berusia lingkungan lewat 40 tahun itu turut ditemani beberapa gadis cantik muda dan seksi di sebuah kafe hipster.
“Masa bertemu itu saya masih tak jelas kerja apa yang nak diberikannya kepada saya.
“Tapi dia ada beritahu kerja itu mudah dan akan dibayar RM1,000 setiap kali kerja siap dan tidak mengambil masa lama.
“Mendengar jumlah wang tersebut yang begitu besar dan tinggi bagi seorang pelajar dan perantau seperti saya lantas membuatkan saya setuju tanpa berfikir panjang,” katanya lagi.
Seperti dijanjikan, selang beberapa hari ketika hujung minggu, Alfie datang bertemu datin itu di salah sebuah kondominium mewahnya yang terletak di Petaling Jaya.
Ketika sampai, dia terkejut melihat ada beberapa gadis seksi dan muda yang ditemui tempoh hari turut berada di situ.
“Diringkaskan, saya diminta untuk melakonkan satu babak aksi lucah bagi menghasilkan sebuah video pornografi pasangan Melayu.
“Mulanya saya geli, takut dan semua perasaan bercampur menjadi satu. Tapi selepas diberi RM500 sebagai ‘wang deposit’, saya langsung tidak berfikir panjang dan menuruti.
“Saya semakin asyik dengan aktiviti bak gigolo itu bahkan saya kian gemar melayani permintaan datin untuk beraksi lucah dan memuaskan gadis-gadis itu.
“Daripada seorang pemalu dan tahu hal agama, saya berubah menjadi syaitan berpaksikan wang ringgit dek kerana ketamakan dan mahu cepat senang,” tuturnya yang meraih ribuan ringgit setiap bulan.
Akui Alfie, lebih setahun dia ‘bekerja’ dan setia dengan ‘majikannya’ itu sampailah satu hari beberapa video pornografi tersebut tersebar dipercayai angkara khianat dan diketahui rakan-rakan kampus.
Tidak setakat itu, video itu juga sampai ke tangan ibu bapanya menerusi orang-orang kampung yang terlihat dan mendapat perkongsian sama.
Malu dengan perbuatannya, Alfie bertindak berhenti belajar tanpa pengetahuan orang tuanya dan mengambil pendekatan berdiam diri selama beberapa bulan kerana amat malu dan sesal atas kelakuannya.
Tidak terhenti di situ, selang beberapa tahun, tindakan jijik lampaunya itu turut ‘dibalas’ Allah dengan diuji salah satu penyakit berkaitan kelamin yang memerlukannya menjalani rawatan susulan selama beberapa bulan di usia yang masih muda.














