KUANTAN – Durian Johor dan Pulau Pinang terus mendominasi pasaran durian di negeri ini apabila mampu ditawarkan dengan harga berpatutan ditambah pula ketika durian Pahang masih berkurangan pada masa ini.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! di beberapa daerah di negeri ini mendapati durian daripada Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan banyak dijual berbanding durian Pahang sendiri yang agak terhad, malah ada gerai jualan tiada langsung menjual durian hasil bumi Pahang.
Seorang penjual durian di Kuantan, Kamarul Hafsan Yaakob, 37, berkata, hampir dua minggu dia mula menjual durian dengan kira-kira 80 peratus buah termasuk musang king adalah dari Johor dan selebihnya durian Sungai Jerik, Maran.
“Buah Pahang masih lagi kurang dan pada masa buah Johor memang banyak yang mana setiap hari saya boleh menjual sehingga lima tan durian pelbagai jenis termasuk musang king, durian kahwin dan durian kampung.
“Alhamdulilah sambutan orang ramai baik dan harga juga berpatutan malah saya juga sering melakukan pemotongan harga bagi menghargai pelanggan,” katanya.
Menurutnya, pada masa ini durian musang king dan durian kahwin dijual dengan harga serendah RM20 sekilogram, manakala durian kampung antara RM8 hingga RM10 sekilogram.

Tambahnya, bagi memastikan kepuasan pelanggan, semua buah dibeli boleh ditukar sekiranya terdapat kerosakan sama ada ketika makan di kedai atau dibawa balik ke rumah.
Dalam pada itu seorang penjual durian di Temerloh Mazlan Abdullah,35, berkata, durian dari luar Pahang ini mendominasi pasaran tempatan yang dihantar secara pukal oleh pemborong durian dan dijual antara RM20 hingga RM60 sekilogram.
Katanya, harga yang ditawarkan adalah berpatutan dan mampu dibeli semua golongan membuatkan durian Johor terus mendapat sambutan.
“Durian musang king Raub yang pengeluaran terhad atas beberapa faktor mendorong orang ramai khususnya penggemar tegar durian beralih kepada durian luar yang keenakkannya tidak berkurang,” katanya.
Sementara penjual di Maran, Mohd Mazlan Mansor, 40, berkata, durian luar Pahang mendapat permintaan tinggi kerana harga lebih murah serta rasa yang enak setanding durian Pahang.
Katanya, dia turun sendiri ke kebun pemilik durian di Segamat dan Tangkak di Johor untuk memilih durian berkualiti, manakala durian Pulau Pinang dihantar pemborong dari negeri itu.
“Durian dari negeri berkenaan juga berkualiti dan sungguh enak serta memenuhi selera penggemar durian. Datanglah ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka untuk menikmati isi durian enak lemak manis Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan,”ujarnya.














