ALOR SETAR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) menegaskan bahawa isu kilang haram bukan di bawah tanggungjawab jabatan itu sahaja, sebaliknya perlu ditangani oleh semua pihak berkaitan secara bersepadu.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, isu tersebut adalah di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab pelbagai pihak.
“Ini kerana tanpa operasi daripada kilang haram tersebut, maka isu pencemaran alam sekitar tidak akan berlaku,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Kata beliau, bagi kilang-kilang haram yang beroperasi di luar kawasan perindustrian, pihak berkuasa perlu memindahkan lokasi dan operasi kilang haram itu ke kawasan perindustrian yang digazet atau diwartakan.
“Kelulusan lesen operasi daripada PBT perlu diperoleh sebelum boleh menjalankan atau meneruskan sesuatu operasi.
“Susulan itu, tindakan penguatkuasaan bersepadu oleh semua agensi yang terbabit boleh diambil dengan lebih berkesan dan menyeluruh terhadap kilang-kilang haram yang wujud,” ujarnya.
Katanya, salah satu kes yang dikenakan tindakan penguatkuasaan melibatkan premis pemerolehan kembali buangan bateri terpakai di Rompin, Pahang.
“Premis telah beroperasi secara haram di mukim Keratong dan diusahakan oleh warga tempatan bersama warga asing.
“Premis telah dikenakan Perintah Larangan secara mutlak disebabkan penempatan premis yang tidak sesuai dengan aktiviti dijalankan,” katanya.
Pada 27 Jun lalu, Kosmo! melaporkan, sebanyak 48 premis industri di sekitar Timur Laut dan Barat Daya di Pulau Pinang diperiksa dalam Operasi Gempur Zon Utara bagi memeriksa industri yang berisiko menyebabkan pencemaran alam sekitar.
Pemeriksaan dibuat ke atas industri dan punca pencemar yang berpotensi dan berisiko menyebabkan pencemaran alam sekitar serta premis yang kerap mendapat aduan dan premis yang belum pernah diperiksa. -KOSMO! ONLINE














