PETALING JAYA – Rata-rata pengguna masih memilih melakukan transaksi secara tunai ketika membuat pembelian berbanding pembayaran secara cashless yang dianggap menyusahkan mereka dan leceh.
Bagi mereka, pembayaran secara tunai yang dipraktikkan sejak sekian lama itu lebih mudah dan praktikal jika dibandingkan dengan kaedah digital yang menggunakan kod QR.
Untuk warga emas pula, golongan itu mengakui mereka tidak mahir menggunakan telefon pintar sekiranya perlu membuat transaksi di premis yang menetapkan pembayaran cashless only.
Warga emas, Zainab Mahmud berkata, dia akan memilih kedai yang menerima wang kertas sekiranya mahu membuat pembelian barangan.
“Saya tidak pandai bayar guna kod QR dan ia menyusahkan. Jadi saya kurang berminat terutama untuk membeli makanan kecuali jika keluar bersama dengan anak-anak.
“Jangan menyusahkan orang tua seperti kami. Saya hanya menggunakan telefon bimbit untuk berhubung dengan anak-anak, fungsi lain saya tidak tahu,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Rahim Hasan, 58, pula memberitahu, penggunaan kod QR menyukarkan golongan seusianya.
Lelaki itu selesa menggunakan tunai ketika membuat pembelian barangan di premis perniagaan.
“Bayaran secara tunai lebih mudah. Sepatutnya peniaga memberi pilihan kepada pelanggan mereka sama ada membuat bayaran secara tunai atau tanpa tunai. Bagi saya langkah tersebut lebih memudahkan semua pihak,” katanya.
Bagi pesara guru, Yaakob Othman, 73, pula, dia terpaksa menebalkan mukanya setiap kali berurusan di premis perniagaan yang menawarkan pembayaran tanpa tunai sahaja.
“Saya pernah minta bantuan pelanggan lain untuk membayarkan makanan dan menyerahkan wang tunai kepadanya. Ini kerana premis tersebut tidak menerima wang kertas dan syiling.
“Saya tidak mengetahui perkara itu sejak awal. Saya hanya dimaklumkan mengenainya (cashless only) selepas makanan yang dipesan sudah siap.
“Mujur ada pelanggan yang berada di belakang sudi untuk membantu saya,” ujarnya.

Jelasnya, dia sentiasa menyokong kemudahan disediakan kepada pengguna, namun berharap golongan peniaga supaya memberikan pilihan kepada pelanggan mereka yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
“Jangan mansuh terus bayaran secara tunai. Beri pilihan kepada pelanggan biar mereka pilih ikut kesesuaian masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Nor Hamdan Maslih, 45, berkata, terdapat premis di kawasan tempat tinggalnya yang meminta pelanggan menggunakan kod QR atau pemindahan wang ketika membuat bayaran.
“Ada pekedai minta pelanggan buat bayaran menggunakan kaedah tersebut. Bagi saya, kaedah pembayaran konvensional (tunai) yang sudah lama dipraktikkan di negara ini perlu dikekalkan kerana ia memudahkan bagi sesetengah pelanggan,” katanya
Kosmo! kelmarin melaporkan orang ramai meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan sesetengah peniaga yang hanya membenarkan pembayaran tanpa tunai atau cashless only di premis masing-masing.
Gangguan sistem perbankan, talian internet terganggu atau ketiadaan internet menjadi antara faktor utama kaedah pembayaran tanpa tunai dianggap ‘membebankan’.
Bagi pengguna, peniaga sepatutnya memberikan pilihan kepada pengguna sama ada membuat bayaran tanpa tunai dan tunai bukannya cashless only.
Bagi sesetengah golongan pula, mereka lebih selesa menggunakan tunai ketika berurusan di kaunter kerana wang kertas masih mempunyai nilai.














