PETALING JAYA – Kira-kira 20 juta umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha hari ini, bersamaan 10 Zulhijah 1445 hijrah.
Penetapan tarikh sambutan perayaan tersebut telah diumumkan secara rasmi sebelum ini oleh Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Datuk Mohd. Aseral Jusman.
Beliau bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1445 Hijrah ialah pada 8 Jun, maka Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri di seluruh negara ialah pada Isnin, 17 Jun.
Dalam masa sama, perayaan Aidiladha ini diraikan oleh umat Islam di Malaysia apabila ada yang pulang ke kampung halaman, sekali gus menyaksikan kesesakan lalu lintas di lebuh raya utama.
Seperti dimaklumkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), purata peningkatan trafik harian di lebuh raya utama mampu mencecah sehingga 2.52 juta kenderaan pada hari-hari puncak.
Pertambahan jumlah kenderaan itu berlaku secara berperingkat bermula 14 Jun hingga 18 Jun.
Bagi ibadah korban yang dilaksanakan sempena Hari Raya Korban, terdapat 27 rumah sembelihan jabatan itu di seluruh Semenanjung Malaysia sedia beroperasi untuk tujuan
tersebut.
Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) baru-baru ini, dianggarkan lima peratus penyembelihan luar masjid atau surau pada kali ini yang akan melibatkan permintaan 1,776 ekor lembu atau kerbau dan 1,051 ekor kambing atau bebiri.
Bagaimanapun, permohonan bagi mendapatkan Permit Sembelihan Luar (PSL) bagi ibadah korban itu masih boleh dibuat sehingga 20 Jun ini.
Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban merupakan salah satu perayaan terbesar yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia selain Hari Raya Aidilfitri.
Ia disambut pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijah setiap tahun dengan penetapannya di Malaysia mengikut kaedah rukyah dan hisab.














