PELAKU jenayah penipuan atau scammer semakin berani memperdaya orang ramai dengan pelbagai taktik.
Kalau sebelum ini aplikasi Telegram menjadi lubuk mereka ‘mencuri’ duit secara mudah, kini sasaran berubah apabila ramai mula buka mata dan sindiket penipuan semakin galak memancing mangsa menerusi WhatsApp pula. Lebih menakutkan scammer mengambil alih dan mengawal aplikasi WhatsApp mangsa.
Isnin lalu misalnya, penyanyi nasyid Fitri Haris mendedahkan telah menjadi mangsa apabila mengalami kerugian RM2,000 selepas terpedaya dengan taktik sindiket penipuan yang menyamar sebagai ketua kumpulan Rabbani, Azadan.
Rentetan itu, Azadan tampil menjelaskan aplikasi WhatsApp miliknya telah digodam scammer dan sudah melaporkan perkara itu kepada polis, syarikat telekomunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Lebih tertekan, sebanyak 10 kenalannya mengakui sudah membuat pemindahan wang termasuk Fitri, malah ada antaranya menyerahkan sehingga RM4,000. Tidak hanya itu, sejak WhatsApp digodam banyak urusan tergendala dan menyukarkannya berhubung dengan pihak lain kerana aplikasi itu diambil alih scammer.
Bayangkan jika itu berlaku kepada anda, pastinya sangat menyusahkan dan timbul rasa bersalah apabila ada ahli keluarga atau kenalan terpedaya dengan membuat transaksi wang seperti yang diminta scammer kerana menyangkakan mesej itu daripada anda. Memang tepuk dahi jawabnya!
Bagi yang menerima kiriman mesej dalam WhatsApp pula, pasti ada yang percaya yang si pengirim itu adalah pemilik aplikasi berkenaan dan tidak ragu-ragu membantu. Maklumlah orang Malaysia kan murah hati, apatah lagi jika yang kirimkan mesej itu kenal rapat atau ahli keluarga sendiri.
Jika yang muda pun boleh terpedaya, bagaimana pula dengan warga emas yang selalu menjadi sasaran mudah scammer?
Menerusi WhatsApp, memang mudah untuk tabur umpan apatah lagi jika scammer mengambil alih aplikasi mereka yang ada pertalian darah dengan mangsa.
Justeru itu, masyarakat kena lebih cakna dengan senario yang kian membimbangkan ini dan saling mengingatkan terutama orang tua kita agar tiada yang menjadi mangsa penipuan.
Selain itu, perlu ada rasa curiga dalam diri jika menerima kiriman mesej membabitkan wang. Memandangkan modus operandi scammer kini mensasarkan WhatsApp, maka kita pun kenalah bijak dengan menghubungi pengirim mesej terlebih dahulu bagi mendapatkan pengesahan sebelum melakukan traksaksi kewangan.
Ingatlah, kecuaian kita bukan sahaja merugikan diri bahkan orang lain. Moga kita semua dijauhkan daripada kejadian tidak diingini seperti ini. -KOSMO! ONLINE














