WANITA bernama Tun Rahah Mohamed Noah itu selayaknya diangkat sebagai epitome lambang kekentalan diri seorang perempuan. Menjadi balu kepada seorang Perdana Menteri pada usia 43 tahun, Tun Rahah dengan tabah membesarkan lima anak lelakinya bersendirian sehingga salah seorangnya turut mengikut jejak suaminya menjadi Perdana Menteri.
Tun Rahah merupakan isteri kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan ibu kepada Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib. Wanita itu adalah srikandi yang menjadi tulang belakang kepada dua Perdana Menteri di Malaysia.
Namun, selepas kira-kira 44 tahun membesarkan anak-anak tanpa suami di sisi yang meninggal dunia pada 1976 kerana leukimia, petang Jumaat lalu, bekas wanita nombor satu negara itu menghembuskan nafas terakhir.
Allahyarham meninggal dunia di Hospital Prince Court di Kuala Lumpur petang ini pada usia 87 tahun.

Perdana Menteri keenam di kediaman bondanya di Jalan Eaton, Kuala Lumpur pada 3 April 2009.
Rakyat Malaysia akan merindui raut wajah tenangnya yang sering didampingi Najib dan dikucup tangannya oleh bekas Perdana Menteri itu untuk memohon segala restu sebagai seorang anak.
“Saya terasa kecil oleh ketinggian peradaban, sikap tenang, kemurahan dan kebaikan hati, kebijaksanaan dan gerak hati ibu selama ini. Ibulah yang telah membolehkan setiap daripada kami (lima beradik) memenuhi potensi diri, memenuhi janji cita-cita kami dan menyelusuri laluan yang telah ditentukan sebagai takdir kami,” ungkap Najib suatu ketika dahulu tentang ibunya itu.
Menelusuri sejarah hidupnya, anak bongsu kepada orang kenamaan, Tan Sri Mohamed Noah Omar itu dilahirkan di Muar, Johor. Bapanya, Mohamed Noah juga merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru Timur dan dilantik speaker Dewan Rakyat pertama negara.
Menurut dokumentasi buku kehidupan Tun Rahah dan kakaknya Suhailah dan Fakhriah berjudul The Three Swans, kehidupan mereka sekeluarga ketika kecil sangat sukar.
Semasa pendudukan Jepun, pendidikan mereka bertiga terganggu kerana terpaksa menemani kedua-dua ibu bapa mereka tinggal dalam sebuah hutan di Kempas, Johor.
“Ibu saya masih mengingati makanan yang dijamah ketika di dalam hutan. Keluarga itu gembira apabila mereka kembali ke Muar selepas Mohamed Noah dilantik sebagai hakim oleh Jepun.
“Walaupun dalam detik sukar itu, mereka bertiga tetap menjaga maruah dan budi pekerti,” kata Najib ketika pelancaran buku berkenaan pada tahun 2010.
Menurut biografi dalam laman web Yayasan Tun Razak, Tun Rahah diceritakan seorang yang pendiam dan tidak menonjolkan diri, namun mempunyai kekuatan tersendiri.
Sebaik sahaja meninggalkan Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus, Johor Bahru, Tun Rahah yang ketika itu berusia 19 tahun telah berkahwin dengan Tun Abdul Razak yang berumur 30 tahun ketika berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

“Seperti yang diakui Tun Rahah, beliau hanya bersedia untuk menjadi seorang isteri dan ibu sahaja,” jelas kenyataan tersebut.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan berkenaan dikurniakan lima orang putera iaitu Najib, Ahmad Johari, Mohamed Nizam, Mohamed Nazim dan Mohd. Nazir.
Bagaimanapun, Tun Rahah memang mengharapkan kedatangan anak perempuan. Namun rezeki tidak memihak kepada beliau.
“Setiap kali pasangan tersebut mendapat anak lelaki, Tun Abdul Razak memberitahu rakannya sama sahaja dan kita tidak boleh hampa dengan pemberian Tuhan,” jelas laman berkenaan.
Sebagai seorang ibu, Tun Rahah telah menanggung sebahagian besar daripada tugas mengasuh dan mendidik putera-puteranya.
Allahyarham terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ‘bapa’ kepada anak-anaknya yang masih menuntut di universiti.
“Setelah Tun Abdul Razak meninggal dunia, beliau memberi sepenuh tumpuan kepada anak-anak sehingga mereka berjaya dalam lapangan masing-masing,” ujar laman web berkenaan.
Sebagai seorang isteri, Tun Rahah telah menyediakan rumah tangga sempurna untuk suaminya, seorang tokoh yang sentiasa bekerja kuat untuk negara, bangsa dan agama.
Kekentalan semangat dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi menjadikan Tun Rahah seorang teman seperjuangan yang setia dan bertanggungjawab.
“Sifatnya yang lemah lembut, sederhana dan bersahaja adalah resipi utama yang menyebabkan beliau disenangi oleh masyarakat di kampung dan bandar.
“Sifatnya yang sederhana ini amat bersesuaian dengan kehendak suaminya yang tidak mahu isterinya menunjuk-nunjuk serta berlebih-lebihan dalam semua hal.
“Sifat berkenaan jugalah yang banyak membantu meningkatkan populariti Tun Abdul Razak sebagai seorang pemimpin negara yang disegani,” jelas kenyataan berkenaan.

Sebagai teman hidup, Tun Rahah selalu mengiringi suaminya menjalankan tugas-tugas rasmi negara sama ada di dalam mahu pun di luar negara.
Allahyarham juga memainkan peranan yang aktif dalam setiap pilihan raya, berkempen dari rumah ke rumah dan berucap di perhimpunan anjuran wanita.
Tun Rahah telah membuktikan bahawa golongan wanita juga mampu memberi sumbangan yang berkesan kepada pembangunan negara.
Allahyarham sentiasa mengingatkan kaum wanita agar melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai kegiatan, di samping memberi sumbangan dan khidmat bakti ke arah kemajuan negara.
Dalam erti kata sebenar, Tun Rahah adalah seorang tokoh yang sentiasa prihatin dan mengambil berat tentang nasib rakyat.
Antara sumbangan beliau adalah berkhidmat sebagai penaung Organisasi Tindakan Wanita Muslim (Pertiwi) dan Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Canselor Universiti Tun Razak iaitu salah satu universiti swasta terawal di negara ini yang dinamakan sempena suaminya.
Allahyarham turut dianugerah Pingat Emas Tun Fatimah oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) pada 1976.
Dalam pada itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga anak saudara kepada Tun Rahah menyifatkan ibu saudaranya itu seorang ibu yang penyayang, prihatin, baik hati dan tabah.














