DALAM kebanyakan budaya, perceraian dilihat sebagai memalukan dan membawa stigma yang negatif.
Berbeza dengan di Mauritania iaitu sebuah negara Arab kecil di Utara Afrika, perceraian adalah perkara biasa.
Bahkan, runtuhnya institusi kekeluargaan itu dirai kerana seseorang wanita itu kembali tersedia untuk berkahwin semula.
Tradisi yang telah diamalkan selama berabad-abad itu menyaksikan kaum wanita akan berkumpul untuk makan, menyanyi dan menari di parti perceraian rakan atau keluarga mereka.
Kini, tradisi itu ditambah dengan aktiviti swafoto, kek bertulis, montaj media sosial dan muzik.
Sesetengah sarjana melaporkan bahawa negara dengan penduduk majoriti Islam itu mempunyai kadar perceraian tertinggi di dunia.
Namun, perkara itu tidak dapat dibuktikan kerana perceraian yang berlaku hanya secara lisan dan tidak didokumenkan.
Ahli sosiologi yang mengkaji wanita dalam masyarakat Mauritania, Najwa El Kettab berkata, wanita di negara itu memiliki autonomi tinggi sehingga ada yang menjadikan perkahwinan seperti sebuah karier.
Katanya, perceraian kerap berlaku sehingga ada yang melaluinya sebanyak 20 kali sepanjang hayat mereka.
“Bercerai bukanlah satu masalah atau stigma. Malah, wanita berstatus janda dilihat sebagai seorang yang berpengalaman dalam segenap hal.
“Oleh itu, mereka lebih diidamkan kaum lelaki di sini. Lebih ramai lelaki meminang janda berbanding wanita bujang,” jelasnya.
Untuk pengetahuan, majoriti masyarakat Mauritania mewarisi pegangan matriarki daripada nenek moyang mereka yang berketurunan Sanhaja Berbers.
Puak tersebut merupakan kumpulan etnik orang asal dari Afrika Utara yang menetap di kawasan tersebut sebelum kedatangan orang Arab.
Kedatangan orang Arab membawa pengaruh agama Islam, sekali gus menjadikan mereka Muslim.
Namun, dalam budaya yang diamalkan puak berkenaan, perkahwinan berbeza suku dan campur jarang berlaku.
Untuk mengekalkan keturunan, pakatan dan kasta, wanita sering dipaksa untuk berkahwin dengan sepupu mereka.
Bagaimanapun, perkahwinan tersebut selalunya tidak kekal. Wanita yang diceraikan akan memiliki pilihan terhad untuk berkahwin semula.

Oleh itu, tradisi meraikan ‘janda’ tersebut diamalkan agar nasib wanita terjamin selepas perceraian.
Majlis rai perceraian merupakan cara masyarakat yang dahulunya nomad menyebarkan status terkini seseorang wanita.
Bagi seorang lagi penduduk Ouadane, Lakwailia Rweijil, perkahwinan pertama pada usia remaja adalah atas desakan bapanya.
Lebih menyedihkan, dia hanya menyedari perkara tersebut pada hari perkahwinannya.
Namun, perkahwinan Rweijil tidak bertahan lama sebelum diceraikan oleh suaminya.
Di Mauritania, wanita boleh meminta perceraian secara sah sekiranya mendapati nafkah zahir dan batin mereka tidak dapat dipenuhi.
Walaupun lelaki memiliki hak untuk melafazkan talak, namun kebanyakan kes cerai di negara tersebut adalah atas desakan wanita.
Kata Rweijil, dia menempuhi enam perkahwinan dengan lelaki berbeza sepanjang dua dekad lalu.
“Saya tidak memiliki pilihan sewaktu mengahwini semua enam suami saya. Oleh itu, saya tak pernah letak mereka di dalam hati.
“Pada saya, sekiranya mereka datang meminang, saya akan berkahwin.
“Namun, sekiranya ditakdirkan mereka pergi, biarkan sahaja mereka pergi,” katanya.
Lebih unik, terdapat sebuah pasar di negara tersebut yang dipanggil sebagai ‘Pasar Janda’.
Pasar tersebut merupakan tempat janda-janda berkumpul untuk melupuskan barang rumah hasil perkahwinan terdahulu.
Menurut Pakar Antropologi Budaya di Universiti Nouakchott, Elhadj Ould Brahim, keadaan di Mauritania sangat kontras dengan negara jiran, Maghribi.
“Perceraian di Maghribi seakan-akan satu hukuman mati bagi wanita. Mereka akan dipandang hina dan dianggap telah menjatuhkan martabat.
“Sedangkan di sini, janda dirai sehingga terdapat banyak puisi tentang penangan godaan seorang janda,” katanya.
Dalam satu perkembangan lain, calon wanita pertama dalam badan perundangan negara di bandar Ouadane, Salka Bilale memilih untuk tidak berkahwin lagi selepas perceraian pertama.
Wanita itu memilih untuk mengejar cita-citanya menjadi ahli farmasi dan menceburi bidang politik.
Perceraian yang berlaku angkara kecurangan bekas suaminya itu telah menyebabkan dia hidup melarat.
Bekas suaminya hanya memberi AS$30 (RM141.21) sebulan sebagai nafkah untuk membesarkan lima anak mereka.
Dalam keadaan sangat memerlukan wang, Bilale membuka sebuah kedai bagi menjana pendapatan supaya anak-anaknya meneruskan persekolahan.
Katanya, biarpun sesetengah wanita memilih untuk berkahwin semula, namun dia lebih memikirkan soal kerjaya.
“Saya memang bercita-cita mahu menjadi seorang doktor. Namun, saya terpaksa melupakan cita-cita itu apabila dinikahkan pada usia muda.
“Apabila saya bercerai dan ditinggalkan bersama lima orang anak, saya buat keputusan untuk terus mengejar cita-cita saya,” jelasnya.














