KUALA TERENGGANU – Sektor pelancongan domestik sempena cuti sekolah minggu depan di Terengganu dan Langkawi, Kedah kembali meriah dipercayai selepas orang ramai mula menerima pengeluaran caruman Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu, Suaibah Harun berkata, tempahan bilik penginapan hotel dan resort di seluruh negeri itu melonjak naik selepas pengeluaran Akaun 3 KWSP tersebut mulai pertengahan bulan ini.
Beliau berkata, setakat ini, rata-rata bilik di 36 hotel dan resort yang bernaung di bawah MAH Terengganu sudah penuh kira-kira 70 peratus pada musim cuti persekolahan dari 24 Mei hingga 2 Jun ini.
“Saya menjangkakan ia boleh meningkat kepada sekurang-kurangnya 85 peratus dalam beberapa hari lagi,” jelasnya.
Suaibah berkata, kebiasaannya kadar tempahan tertinggi bilik hotel dan resort di Terengganu sejak awal tahun ini hanyalah 60 peratus.
Tambah beliau, selain bilik, tempahan dewan di 36 hotel dan resort yang bernaung dengan MAH Terengganu pada musim cuti persekolahan ini juga memberangsangkan.
Di Langkawi, lebih 2,500 orang telah menempah tiket feri ke pulau peranginan itu dan dijangka akan meningkat pada minggu depan.
Penolong Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Norhafiz Abdul
Wahid berkata, buat masa ini lima buah feri yang dijadualkan masuk ke Langkawi pada Sabtu ini sudah penuh ditempah penumpang.
Jelasnya, sebuah feri tersebut adalah dari Kuala Kedah, manakala empat lagi dari Kuala Perlis.
“Lebih 2,500 orang telah menempah tiket feri untuk masuk ke Langkawi pada 25 Mei nanti, dan kita jangkakan angka itu akan terus meningkat pada cuti sekolah minggu hadapan.
“Setakat ini, kami masih mengekalkan perjalanan feri pada lima kali sehari untuk bagi setiap laluan (Langkawi-Kuala Perlis, Langkawi-Kuala Kedah, Kuala Kedah-Langkawi, Kuala Perlis-Langkawi) dan akan menambah sehingga 10 perjalanan sehari sekiranya ada permintaan daripada penumpang,” katanya di sini semalam.














