Beribu-ribu orang membanjiri sebuah jambatan di China baru-baru ini. Ramai antara mereka membawa bersama hidangan burger McDonald’s, teh boba atau jambangan bunga. Aura suram melewati persekitaran.
Mereka berarak kerana memperingati tragedi seorang pemuda terjatuh dari Jambatan Sungai Yangtze Shibanpo, wilayah Hunan.
Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Fat Cat (Kucing Gemuk) atau nama sebenarnya Liu Jie, terjatuh dari jambatan akhir bulan lalu selepas putus cinta.
Pemuda berumur 21 tahun itu bercinta selama hampir dua tahun dengan seorang wanita berusia enam tahun lebih tua. Mayat mangsa ditemui 12 hari kemudian.
Insiden lelaki dan wanita terjatuh dari jambatan atau bangunan sememangnya berlaku tetapi tragedi menimpa Fat Cat menarik perhatian berjuta-juta netizen di China.
Ia antara lain kerana kisah di sebalik peristiwa tersebut dan pendedahan mengenainya di media sosial.
Seorang saudara perempuan mendiang mendedahkan, sepanjang tempoh percintaan Fat Cat dan wanita berkenaan, mendiang bersusah payah dan sanggup berlapar demi menghantar wang berjumlah 510,000 yuan (RM332,514) kepada kekasihnya,
Dalam kulit (muka depan) akaun sosial Fat Cat, tertera ungkapan: “Saya tidak mahu makan sayur, saya teringin makan McDonald’s.”
Itulah sebab orang ramai membawa hidangan burger popular tersebut supaya roh mendiang tidak lapar mengikut kepercayaan masyarakat Tionghua.
Walaupun bukan seorang terpelajar, Fat Cat memperoleh wang agak lumayan dengan bersengkang mata bermain permainan video. Dia membantu pemain lain ‘push rank’ untuk sampai ke peringkat lebih tinggi dalam permainan video pertempuran berbilang pemain.
Kisah Fat Cat mengetengahkan beberapa senario yang berlaku pada era teknologi masa kini dan boleh difahami generasi semasa.
Walaupun kini era materialistik dan wang dianggap hampir segala-galanya, malah ramai manusia yang ‘berajakan’ wang, realitinya, semakin ramai orang yang jiwa mereka ‘kosong’ dan begitu mendambakan cinta.
Walaupun secanggih mana zaman bertukar, jiwa manusia tetap sama, mahukan makanannya iaitu kasih sayang.
Senario kedua adalah cinta bertepuk sebelah tangan selalu tidak baik pengakhirannya.
Ketiga, zaman ini penuh dengan ‘scammer’. Sebagai contoh sebilangan kafe dan restoran menghantar kotak makanan kosong dan bekas minuman teh boba diisi air paip selepas menerima pesanan pelanggan untuk dihantar ke lokasi memorial Fat Cat.
Topik cinta pula, sedihnya dianggap sebagai tabu. Alangkah baik jika ibu bapa dapat membimbing atau bercerita tentang perasaan tersebut termasuk onak ranjaunya kepada anak-anak remaja yang meningkat dewasa dan bukan nasihat klise ‘kamu masih muda, jangan bercinta, tumpukan pada pelajaran’.
Kisah Fat Cat juga memberikan wanita di luar sana satu lagi rumusan. Lelaki yang selalu belanja dan berbelanja untuk anda, benar-benar menyukai anda.Begitulah agaknya.














