fbpx
Sentuhan moden pada karya-karya seni batik Farah yang turut menonjolkan karakter dan kepelbagaian budaya di Malaysia menjadi salah satu daya tarikan kerja seninya.

Farah hasilkan karya-karya batik ‘di luar kotak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

USAI mencanting pola batik pada sehelai kain putih di hadapannya, wanita muda itu mula membancuh warna untuk digunakan pada batik yang dihasilkannya.

Cairan warna tersebut kemudian diisi Farah Mohan perlahan-lahan ke dalam pola batik yang sudah siap, sekali gus menghasilkan sebuah kanvas batik yang cukup mempesona.

Memang menarik kerja seni Farah, 32. Lukisan batik yang dihasilkan tidak seperti lukisan tradisional atau kebiasaan batik yang lazim kita lihat.

Bagai membawa batik ke satu tahap yang berbeza, karya wanita ini memang memukau.

Bukan sahaja setiap rekaan yang dihasilkan bersifat eksklusif dan mempunyai ceritanya tersendiri, ia dihasilkan dengan penuh kreativiti. Tidak hairanlah banyak pihak yang tertarik dengan kerja seni wanita ini yang turut pernah diwawancara Yahoo! News dan karyanya diletakkan di muka depan majalah The EXPAT.

Batik dihasilkan Farah antaranya bermotifkan karakter seperti karakter popular termasuk Tunku Abdul Rahman, Phua Chu Kang dan juga Barbie serta motif-motif haiwan yang rare dalam batik misalnya harimau dan arnab, pemandangan dan sebagainya.

Bagi Farah, batik menjadi satu medium penterjemahan cerita dan sebagai seorang pembuat batik muda, Farah berhasrat untuk memikat hati orang ramai menerusi karya batik kontemporari yang dihasilkannya.

“Saya mengasaskan Novak Batik pada 2015 oleh kerana minat yang mendalam terhadap warna air dan nilai estetika tradisi.

“Biarpun ketika itu saya mempunyai pengetahuan yang terhad dalam bidang rekaan fabrik, namun minat yang mendalam selain latar belakang pendidikan dalam seni bina membantu saya sebagai asas hasilkan rekaan dan motif batik,” kongsi graduan jurusan seni bina Universiti Malaya itu kepada K2.

Bagi Farah, seni batik juga satu cara menghargai tradisi atau warisan negara dan menterjemah emosi.

Novak Batik pada mulanya hanya digunakan sebagai medium untuk Farah berkongsi karya batiknya secara suka-suka, namun dia sama sekali tidak menyangka ia akhirnya menjadi sumber rezeki buatnya.

Ketika pandemik Covid-19 melanda dunia pada 2020, Farah menggunakan masa terluang untuk mula memahami seni batik dengan lebih mendalam.

“Ketika dunia dilanda pandemik, saya ada banyak masa terluang dan mula menghasilkan banyak seni batik.

“Saya juga berkongsi eksperimen itu menerusi media sosial,” kata Farah.

Ujar Farah yang memiliki 40,000 pengikut di Instagram, dia agak terkejut penerimaan seni batiknya di luar jangkaan.

“Rupanya ramai yang sukakan kelainan dan sentuhan moden yang saya satukan bersama batik.

“Ia membuatkan saya bertambah semangat untuk hasilkan lebih banyak dan pada masa sama bereksperimen dengan pelbagai jenis teknik dan bahan-bahan batik,” katanya yang sehingga kini sudah hasilkan lebih 200 lukisan batik.

Menjadi rakyat Malaysia juga adalah satu anugerah buat seniman seperti Farah. Ujar anak kelahiran Kedah itu, negara mempunyai campuran budaya yang luar biasa serta pelbagai cerita dongeng dan teladan hadir bersamanya.

“Antara rekaan batik yang masih lagi menjadi kegemaran saya adalah Jade Bunny yang saya hasilkan untuk Perayaan Kuih Bulan.

“Ia dipamerkan di Kwai Chai Hong, Jalan Petaling. Saya terinspirasi daripada cerita dongeng masyarakat Cina tentang bagaimana seekor arnab biasa menjadi Jade Bunny dan menjadi sahabat kepada Chang Er iaitu seorang Dewi Bulan,” katanya.

SELAIN menjual batiknya, Farah turut menganjurkan kelas membuat batik untuk orang ramai.

Bukan sekadar itu, Farah turut pernah menghasilkan karya batik untuk jenama-jenama terkenal seperti GUCCI, kasut Converse dan juga terbaharu bagi jenama minuman teh popular, Chagee.

Bercerita tentang kolaborasinya bersama jenama kasut kanvas Converse sempena edisi Hari Merdeka tahun lalu, Farah memberitahu, pada awalnya dia gementar kerana tidak tahu adakah batik canting akan nampak cantik dan sesuai dilukis di atas permukaan kasut kanvas jenama itu atau sebaliknya.

“Namun, memandangkan ia adalah satu jenama besar, saya mahu memastikan ia ‘menjadi’ dan berjaya dilaksanakan. Hasilnya, kasut itu nampak cantik dan terserlah elemen tradisi pada kasut itu,” katanya yang menghasilkan motif bunga raya untuk kolaborasi itu.

Bagi Farah, batik bukan sahaja terhad sebagai satu teknik, ia bahkan menjadi cara menghargai tradisi, emosi dan juga budaya. Karya yang dihasilkan Farah didorong oleh emosi, memori dan persekitarannya.

“Proses kreatif saya banyak diinspirasikan daripada apa yang sedang berlaku kepada saya ketika itu.

“Ia mungkin satu memori, emosi, cerita, muzik atau pun warna.

“Sebaik sahaja mendapat ‘percikan kreatif’ itu, saya akan mendalami perkara yang mencetuskan inspirasi kepada saya itu dan mula mengumpul gambar, warna dan idea berkaitan dengannya,” katanya.

Farah juga beranggapan bahawa dalam dunia batik, terdapat banyak potensi yang belum lagi diterokai dan dia sentiasa mencari cara untuk berfikir di luar kotak.

Baginya, batik menjangkaui tradisi dan ia juga mengingatkan kita bahawa seni merupakan satu kuasa dinamik yang menghubungkan masa lampau, masa kini dan juga masa depan, sekali gus memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN