BARU-BARU ini, seramai 54 banduan kes dadah dan bunuh terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menggantikan hukuman tersebut dengan penjara antara 30 hingga 38 tahun.
Keputusan itu diputuskan oleh panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama-sama Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.
Dalam persidangan selama dua hari itu, banduan kes dadah dikenakan hukuman penjara selama 30 tahun, manakala 35 hingga 38 tahun bagi kes bunuh.
Banduan yang terlibat merupakan enam pesalah bagi bunuh selepas mereka didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan 48 kes dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Peguam cara dan peguam bela, Mohd. Firdaus Zainal Abidin berkata, daripada sudut hak asasi manusia, pengecualian hukuman mati itu memberi peluang kedua kepada banduan.
Menurutnya, sebelum ini, mereka hanya menunggu saat untuk menjalani hukuman gantung, tetapi kini bertukar menunggu detik dapat melangkah keluar dari penjara meskipun berada dalam tahanan dalam tempoh yang lama.
“Hukuman mati tidak lagi menjadi hukuman yang mandatori. Keadaan itu memberi ruang hukuman yang lebih fleksibel kepada mahkamah berdasarkan fakta pada setiap kes yang dibicarakan.
“Mahkamah juga tidak lagi terikat untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati semata-mata kepada pesalah kes bunuh dan dadah,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus memberitahu, penularan hukuman mati itu perlu dilihat daripada perspektif positif apabila hukuman penjara dalam tempoh lama mampu memberi ruang kepada banduan untuk menginsafi kesalahan yang dilakukan.
Justeru, peluang berada di sebalik tirai besi perlu diambil sebaiknya oleh banduan dalam membentuk diri menjadi manusia yang lebih baik apabila dibebaskan kelak.
“Pelbagai program pemulihan sama ada daripada sudut kemahiran atau kerohanian disediakan oleh Jabatan Penjara.
“Terlepas hukuman gantung merupakan satu ‘hadiah’ yang sepatutnya tidak dipersia-siakan oleh banduan yang terlibat,” ujarnya.
Ditanya mengenai implikasi pengguguran hukuman mati yang berkemungkinan boleh menyebabkan orang ramai tidak takut melakukan jenayah melibatkan kes dadah dan bunuh, Mohd. Firdaus menyangkal sangkaan dan dakwaan tersebut.
Menurutnya, hukuman mati masih ada cuma ia tidak lagi mandatori sekali gus memberi budi bicara kepada mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman pemenjaraan seumur hidup.
“Tanggungjawab peguam bela adalah untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan meskipun hukuman mati digugurkan.
“Menyelamatkan banduan daripada hukuman mati kepada hukuman pemenjaraan seumur hidup juga merupakan satu tugas berat peguam bela seperti yang telah dilaksanakan oleh rakan-rakan peguam pada Persidangan Mahkamah Persekutuan di Kota Bharu baru-baru ini,” katanya.
















