Setelah 12 tahun menanti, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya memberi khabar gembira kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam dengan pengumuman kenaikan gaji pada kadar lebih 13 peratus yang akan bermula pada 1 Disember nanti.
Penyelarasan kadar gaji baharu itu pastinya memberi kelegaan kepada kakitangan awam yang ketika ini dikatakan bergelut dengan kenaikan kos sara hidup yang mencengkam.
Secara positifnya, keputusan kerajaan itu bukan sekadar memberi kelegaan kepada seluruh penjawat awam, malah ia sebenarnya diharap akan turut memberi limpahan kepada penjanaan ekonomi negara secara keseluruhannya.
Kenaikan gaji yang secara tidak langsung meningkatkan kuasa beli kira-kira 1.6 juta rakyat Malaysia itu diharap akan turut berupaya membantu sektor-sektor perniagaan yang sedia ada untuk berkembang selain membuka peluang kepada kewujudan perniagaan-perniagaan baharu.
Jika ini berlaku, kita berharap lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia yang bukan terdiri daripada kakitangan awam mendapat kerja dan beroleh gaji yang selesa.
Harapannya, ia sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan keresahan berhubung keputusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mewujudkan Akaun Fleksibel atau Akaun 3 yang membolehkan pencarumnya mengeluarkan sebanyak 10 peratus daripada akaun mereka bagi memenuhi keperluan hidup jangka pendek.
Kita berharap, walaupun KWSP membenarkan ahlinya mengeluarkan sebahagian wang simpanan untuk hari tua daripada Akaun 3 itu, jumlah pencarum yang akan melakukan pengeluaran itu tidaklah melibatkan jumlah ramai.
Bagaimanapun, jika perkara sebaliknya berlaku, ia sudah tentu memberi isyarat yang kurang elok kepada negara kerana secara tidak langsung boleh menggambarkan bahawa ramai dalam kalangan rakyat berada dalam keadaan tidak cukup wang untuk hidup.
Jujurnya, kerajaan seharusnya memberi perhatian serius berhubung perkara ini kerana tidak ada gunanya kita memberi satu pihak hidup dalam keadaan selesa, sedangkan di satu pihak yang lain terpaksa mengorek segala tabung termasuk bekalan hari tua demi untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Jadi usaha-usaha konkrit perlu dilakukan untuk mengurangkan jumlah rakyat yang berada dalam kesempitan hidup ini, dan kalau boleh kita tidak mahu lagi lihat sampai ada dalam kalangan rakyat terpaksa mengeluarkan wang simpanan hari tua semata-mata untuk meneruskan kehidupan.














