MALAYSIA akan turun dengan status selaku juara bertahan Piala Sultan Azlan Shah yang membuka tirainya di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, Perak bermula esok hingga 11 Mei ini selepas edisi tahun lalu tidak dianjurkan disebabkan jadual padat.
Sepanjang tempoh itu, banyak perubahan berlaku dalam skuad hoki lelaki senior negara yang menamatkan penantian 39 tahun untuk bergelar juara kejohanan tersebut buat kali pertama pada edisi 2022 sejak ia mula diperkenalkan pada 1983.
Jurulatih ketika itu, A. Arul Selvaraj dianggap wira negara atas pencapaian hebat tersebut, tetapi tidak lagi apabila Speedy Tigers kini dibimbing pengendali baharu, Sarjit Singh yang dilantik untuk membawa revolusi baharu buat arena hoki tanah air.
Justeru, penganjuran kali ini hadir pada waktu tepat untuk memberikan ujian pertama kepada bekas pengendali Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu menilai kemampuan barisan pemain baharunya yang rata-ratanya masih ‘mentah’ di pentas antarabangsa.
Tidak menafikan kemampuan skuad kebangsaan, tetapi berdasarkan senario semasa dan penyertaan lima lagi negara lain, kedudukan podium sudah boleh dianggap sebagai satu pencapaian bonus buat mereka.
Sudah tentu menjadi juara adalah impian buat semua pasukan bertanding, tetapi mempertahankan kejuaraan adalah lebih sukar berbanding memenanginya, apatah lagi jika menilai kepada rombakan sedang dilakukan Konfederasi Hoki Malaysia ketika ini.
Bagi edisi kali ini, Malaysia akan turun selaku pasukan ranking ketiga terbaik iaitu No. 13 dunia, di belakang gergasi benua Oceania, New Zealand (No. 10 dunia) dan Korea Selatan (No. 11 dunia).
Tiga lagi pasukan bertanding ialah Pakistan (No. 15 dunia), Jepun (No. 16 dunia) dan Kanada (No. 19 dunia).
Penganjuran kali ini gagal menarik minat gergasi-gergasi dunia lain yang kebiasaannya tidak melepaskan peluang mengambil bahagian seperti Australia dan India kerana sibuk dengan saingan Liga Pro FIH serta persediaan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Daripada enam negara bertanding, hanya New Zealand yang akan beraksi di Olimpik Paris berbanding lima lagi yang kesemuanya terkandas di pusingan kelayakan Januari lalu.
Justeru, barisan kejurulatihan perlu mengambil kesempatan ini untuk melihat kemajuan hasil latihan mereka selama ini yang turut diperkuatkan dengan beberapa tonggak berpengalaman seperti Faizal Saari, Mohd. Fitri Saari dan Marhan Jalil.
Pastinya, tiada sasaran spesifik dalam kejohanan pertama itu kerana sekarang adalah fasa pembentukan semula pasukan dalam misi meraih pingat emas Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
Speedy Tigers perlu menjadikan platform itu sebagai ruang terbaik membentuk keserasian antara mereka kerana Piala Sultan Azlan Shah menawarkan pungutan mata yang boleh memperbaiki kedudukan ranking dunia.
Tentunya mata mampu dipungut jika berjaya menaiki podium sebelum mereka menghadapi satu lagi kejohanan besar anjuran Persekutuan Hoki Antarabangsa tahun ini iaitu Piala Negara-Negara FIH 2024 di Gniezno, Poland dari 31 Mei hingga 9 Jun depan.














