KUALA LUMPUR – Seramai 10 atlet lagi dijangka bakal melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik 2024 yang akan berlangsung di Paris, Perancis bermula pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyuarakan keyakinan tersebut apabila seramai 18 atlet daripada tujuh jenis sukan sudah mengesahkan tempat ke temasya sukan empat tahun sekali itu.
Ketika ini, saingan kelayakan untuk beberapa jenis sukan sedang berlangsung dengan jumlah sebenar atlet yang layak ke Olimpik Paris hanya diketahui menjelang penghujung Jun nanti.
“MOM menjangkakan lebih ramai atlet akan layak. Antara yang kita jangka mampu melayakkan diri adalah dalam sukan memanah individu dan berpasukan di mana mereka akan bertanding di Antalya, Turkiye bermula 18 hingga 23 Jun depan.
“Kuota yang belum digunakan untuk acara terjun juga masih ada selain tiket wildcard dalam renang dan olahraga. Oleh itu, kita jangka kontinjen negara ke Olimpik Paris nanti boleh mencapai 28 atlet,” katanya.
Setakat ini, 12 atlet dalam acara individu selain tiga beregu badminton sudah pun melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu.
Bagaimanapun, dalam sukan badminton, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hanya akan mengeluarkan senarai rasmi pemain yang layak pada 1 Mei ini selepas saingan kelayakan berakhir semalam.
Antara atlet yang sudah melayakkan diri ke Olimpik Paris adalah penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises, Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd. Zairi (memanah), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), tiga pelumba berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri serta atlet berbasikal lebuhraya wanita, Nur Aisyah Zubir selain dua pelayar, Nur Shazrin Latif dan Khairulnizam Afendy.
Sementara itu, sukan badminton terdiri daripada perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita) serta Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran). – KOSMO! ONLINE