fbpx

Dua cedera penghuni pusat jagaan warga emas mengamuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Dua pekerja sebuah pusat jagaan warga emas di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur cedera akibat dilibas dengan sabit oleh salah seorang penghuni pusat berkenaan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, kedua-dua mereka dicederakan oleh penghuni lelaki berusia 67 tahun yang sedang mengamuk.

“Polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.57 pagi. Berdasarkan maklumat awal penjaga pusat berkenaan terdengar bunyi bising serta suara jeritan.

“Penjaga itu kemudian naik ke tingkat atas dan melihat suspek berusia 67 tahun sedang mengamuk dengan memegang sabit,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Rajab berkata, penjaga pusat warga emas itu turut melihat dua pekerja premis tersebut masing-masing berusia 23 dan 50 tahun sedang cuba menenangkan lelaki berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, suspek melawan dan bertindak melibas sabit terhadap dua pekerja berkenaan sebelum melarikan diri ke dalam bilik dan duduk di atas katil.

Kata beliau, kejadian itu menyebabkan salah seorang pekerja terlibat iaitu lelaki warga India cedera pada bahagian belakang kepala, jari manis kanan dan pergelangan tangan kiri.

Tambah beliau, seorang lagi pekerja iaitu wanita warga Indonesia luka pada bahagian dahi serta jari manis kanan.

Jelas beliau, punca kejadian masih dalam siasatan memandangkan keterangan kedua-dua mangsa yang masih mendapatkan rawatan belum diambil.

“Mangsa yang cedera serta suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI