fbpx
Gambar hiasan

Hilux lolos selepas dikejar di Pandan Indah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG JAYA – Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berjaya meloloskan diri selepas dikejar polis dalam kejadian di Jalan Pandan Utama, Pandan Indah awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.16 pagi ketika anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Balai Polis Pandan Indah sedang menjalankan rondaan.

Beliau berkata, anggota MPV mengesan sebuah Toyota Hilux yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak mengekorinya.

“Pada masa sama, seorang anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Cheras yang menaiki motosikal turut mengekori kenderaan suspek yang melarikan diri daripada pemeriksaan Snap Check di Bulatan Billion melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sehingga ke Jalan Pandan Utama.

“Anggota RCJ berkenaan kemudian meminta bantuan dan anggota MPV dari Balai Polis Pandan Indah bersama sebuah lagi MPV telah memberi bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek bagaimanapun berjaya meloloskan diri selepas membuat pusingan U di atas pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Suspek kemudian hilang tanpa jejak. Siasatan masih lagi diteruskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN