PONTIAN – Kelewatan pembukaan laluan dari Jambatan Sungai Pulai ke Kawasan Perindustrian Tanjung Bin di sini, menyebabkan ada treler dan lori besar memasuki Kampung Sungai Boh sehingga membahayakan keselamatan penduduk.
Penduduk mendakwa, pemandu berkenaan yang kebanyakan orang luar hanya membaca petunjuk laluan menggunakan aplikasi Waze tanpa mengetahui jalan tersebut hanya boleh dilalui oleh kenderaan ringan.
Azman Awang, 58, berkata, situasi tersebut telah menimbulkan kemarahan penduduk kerana kehadiran kenderaan berat berkenaan menyebabkan urusan harian mereka terganggu.
Katanya, selain itu ada juga kes kenderaan berat yang melanggar tiang kabel telekom dan elektrik menyebabkan berlakunya gangguan bekalan elektrik dan talian telefon termasuk di kawasan sekolah dan klinik desa.
“Jalan tersebut memang boleh sampai ke kawasan Perindustrian Tanjung Bin, tetapi kenderaan perlu melalui beberapa kampung termasuk Kampung Sungai Chengkeh, Sungai Dinar sebelum sampai ke jalan utama di Kampung Sungai Sam.
“Bagaimanapun, kenderaan berat tidak boleh sampai kerana terdapat sebuah jambatan yang hanya boleh digunakan oleh kenderaan ringan menyebabkan mereka perlu berpatah balik semula ke Jalan Kampung Sungai Boh,” katanya baru-baru ini.
Jalan sepanjang 3 kilometer selepas jambatan Sungai Pulai itu merupakan laluan yang dibina khas oleh pemaju kawasan Perindustrian Tanjung Bin bertujuan memudahkan kenderaan berat seperti lori tangki minyak, treler melaluinya tanpa menggunakan jalan-jalan kampung.
Seorang lagi penduduk, Azmi Rahmat, 50, berkata, kelewatan pembukaan laluan tersebut menyebabkan kehidupan kira-kira 3,000 penduduk di beberapa kampung terjejas.
Katanya, walaupun kerja-kerja pembaikan dilakukan oleh pihak pemaju, namun masalah jalan beralun kembali berlaku disebabkan tidak mampu menampung berat kenderaan besar yang melaluinya.
“Kami tidak mengetahui masalah sebenar yang menyebabkan kelewatan pembukaan jalan tersebut yang melalui dua jambatan, jambatan Sungai Boh dan jambatan Sungai Chengkeh untuk sampai ke Tanjung Bin,” ujarnya.
Susulan itu, Azmi berharap, pemaju projek tersebut perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan tidak membiarkan penduduk dan pengguna jalan raya berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk kerosakan kenderaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, mengikut jadual, laluan tersebut sepatutnya telah diserahkan kepada Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) pada 1 Januari lalu.
Katanya, kelewatan pembukaan laluan tersebut menyebabkan lori-lori tangki dan kenderaan berat lain terpaksa ‘berpusing’ melalui jalan kampung dan menyebabkan jalan tersebut cepat mengalami kerosakan.















