PETALING JAYA – Tekanan untuk menyiapkan sesuatu projek perumahan mengikut jadual selepas pandemik dalam keadaan kekurangan tenaga buruh menyebabkan segelintir pemaju bersikap sambil lewa ketika memasang jubin hingga mengakibatkannya mudah ‘meletup’.
Kejadian buckle up atau popped up itu biasanya terjadi di ruang tamu, bilik dan dapur disebabkan oleh beberapa faktor seperti pemilihan jubin murah dan pembahagian bancuhan simen yang tidak betul.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Datuk Azman Yusoff berkata, antara faktor yang menyebabkan kejadian itu termasuk kekurangan pekerja mahir serta harga bahan binaan yang naik secara mendadak.
“Faktor cuaca juga ada memainkan peranan. Kesan perubahan haba yang ketara pada sebelah siang dan pada sebelah malam beberapa bulan ini akan mempercepat proses pengembangan dan pengecutan pada jubin di lantai rumah.
“Faktor lain yang mempengaruhi insiden jubin meletup adalah jubin disusun terlalu rapat, permukaan lantai tidak serata dan berpasir,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Azman, pembeli perlu membuat pemeriksaan secara sendiri dengan menggunakan keluli lembut dan diketuk pada setiap kepingan jubin.
Tambahnya, sekiranya jubin itu tidak menetapi spesifikasi yang betul, ia akan hasilkan bunyi kosong ataupun nyaring, manakala bunyi padat menandakan ia dipasang secara tepat dan kemas.
“Pemaju akan beri jaminan sekitar satu hingga dua tahun, namun sekiranya pembeli melakukan ubah suai pada rumah tersebut, secara automatik jaminan tamat meskipun tempoh setahun dua itu belum habis.
“Selepas itu pemaju tidak akan menanggung sebarang kerosakan lagi yang berlaku pada rumah pembeli, tuan rumah terpaksa keluarkan kos sendiri untuk baik pulih kecacatan yang berlaku pada rumah,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia, Tukiman Radion berkata, ada kontraktor mendapatkan jubin dari China kerana harga murah berbanding tempatan, namun sangat berbeza dari segi kualitinya.
Katanya, ia berlaku kerana mereka ingin menjimatkan kos dan berbeza daripada apa yang dijanjikan kepada pembeli.
“Produk murah pasti kualiti juga rendah dan ia tidak mampu bertahan lama meskipun cara pemasangan betul.
“Pemaju yang terdesak akan melantik sub kontraktor memasang jubin kerana mahu menjimatkan masa. Masalah timbul apabila mereka dibayar pada harga rendah, pemasangan jubin dalam tempoh singkat disiapkan ala kadar sahaja,” katanya.
Menurut Tukiman, kontraktor tidak memastikan jubin melekat dengan betul dan pembahagian bancuhan simen juga tidak dibuat dengan teliti hingga mengakibatkan insiden jubin meletup.
Tambahnya, terdapat tiga bahan penting untuk memasang jubin iaitu simen, gam simen dan gam susu.
“Ia perlu dicampur dan diletakkan pada lantai atau jubin bagi menjamin tahan lama selepas dipasang. Jubin perlu diketuk supaya melekat pada simen atau lantai.
“Kalau jubin tidak melekat sepenuhnya, angin akan terkumpul dalam ruang kosong atau lompong dan menyebabkan jubin meletup. Selain itu, simen yang tidak cukup juga boleh menjadi punca,” katanya.














