SUDAH menjadi kebiasaan Maisarah Mohamad berkunjung ke bazar Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur menjelang Aidilfitri.
Bagi Maisarah, Jalan TAR adalah hab kelengkapan raya yang sentiasa menjadi pilihannya untuk mencari pakaian buat dia dan keluarga pada setiap tahun.
Menurutnya, Jalan TAR memiliki banyak pilihan baju raya menarik untuk digayakan pada pagi Syawal selain dijual dengan harga berpatutan.
Bagi menyambut hari raya pada tahun ini, Maisarah memilih warna oren bata sebagai tema untuk digayakan oleh mereka seisi keluarga.
Dia sendiri mengakui, tidak mempunyai idea untuk memilih tema warna untuk dipakai pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Namun, dia menyedari bahawa tema warna oren terutamanya oren bata sangat popular dalam media sosial.
“Ketika melayari media sosial terutamanya TikTok, saya lihat banyak kandungan berkaitan warna oren bata dimuat naik.
“Setelah berkali-kali melihatnya, saya rasa warna ini sangat cantik. Kebetulan pula, saya tidak pernah lagi menggayakan pakaian warna oren bata sebelum ini.
“Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk menjadikan oren bata sebagai warna tema raya kami sekeluarga pada tahun ini,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Tidak dinafikan, warna oren terutama oren bata (brick orange) dilihat menjadi tema pilihan ramai untuk raya pada tahun ini.
Beberapa portal media tempatan turut melaporkan berkaitan penonjolan dan populariti warna tema berkenaan.
Warna oren bertona agak gelap mirip batu bata itu juga dikenali sebagai dark orange.
Malah, hasil tinjauan di Jalan TAR mendapati, pakaian berwarna oren menghiasi ruang hadapan kebanyakan kedai pakaian.
Baju Melayu dan baju kurung berwarna oren bata antara yang dipilih untuk diperagakan pada patung-patung pakaian.
Bukan itu sahaja, di platform e-dagang, kebanyakan stok pakaian berwarna oren bata didapati telah sold out (habis dijual).
Hasil tinjauan yang dibuat di laman e-dagang juga menunjukkan bahawa pakaian warna itu habis lebih awal berbanding warna-warna lain.
Sementara itu, seorang netizen di Facebook, Master Zulfadley Khalid telah meluahkan kekecewaannya kerana baju Melayu berwarna oren bata yang ingin dibelinya dijual pada harga RM350 sepasang.

Menurutnya, dua hari sebelum itu, dia melihat harga baju Melayu oren bata itu sekitar RM189 sepasang semasa beli untuk anaknya di ibu pejabat (HQ) jenama pakaian terbabit.
Dia juga berhasrat membeli untuk dirinya, namun tiada saiz yang sesuai.
Dua hari kemudian, ketika berjalan di sebuah pusat beli-belah, dia terjumpa sebuah kedai yang menjual baju Melayu oren bata.
“Kebetulan, tinggal satu sahaja saiz yang sesuai dengannya.Setelah mencuba, baju itu muat dengan saya.
“Jadi, saya mengambil keputusan untuk membelinya.
“Ketika hendak bayar, saya terkejut apabila staf di situ memberitahu, harga baju Melayu itu adalah RM350 sepasang untuk warna tersebut sahaja, manakala warna-warna lain masih RM189.
“Tiba-tiba, bos staf tersebut datang dan memberitahu bahawa di atas talian baju Melayu warna oren bata dijual pada harga RM500 sepasang.
“Saya pun tak jadi beli, niat saya hanya mahu sedondon dengan anak saya,” kongsinya sehingga mendapat perhatian wakil jenama terbabit.
Mengulas lanjut tentang pemilihan warna oren terutama oren bata untuk raya pada tahun ini, Pengarah Alfaro Sdn. Bhd., Farooq Ahmed yang menjual pakaian di Jalan TAR berkata, dia tidak menyangka warna itu akan ‘meletup’.

Menurutnya, permintaan terhadap pakaian berwarna oren bata begitu tinggi pada tahun ini.
“Saya ada hasilkan pakaian lebih 50 warna untuk tahun ini. Bagaimanapun, warna oren bata mendapat permintaan paling tinggi daripada pelanggan.
“Bagi pakaian berwarna oren bata iaitu baju kurung dan baju Melayu, kita ada stok sebanyak 25,000 helai, namun banyak telah terjual.
“Disebabkan itu, saya tambah lagi lebih 10,000 helai bagi menampung permintaan tinggi daripada pelanggan,” jelasnya.
Tambah Farooq, permintaan untuk warna oren bata sangat tinggi di semua 12 cawangan kedai miliknya sehingga terpaksa ditambah stok.
Bagi tidak menghampakan pelanggan yang hadir ke kedai, dia memilih untuk tidak menjual baju berwarna oren bata di platform online.
Mengulas lanjut, Farooq berkata, sepanjang lebih 26 tahun terlibat dalam industri pakaian, dia sendiri tidak dapat menduga tema warna pilihan ramai sempena Aidilfitri.
“Sebenarnya, pakaian warna oren bata ini saya telah bawa masuk stok sejak lima tahun lalu, namun tidak mendapat sambutan.
“Bagaimanapun, pada tahun ini, warna oren bata menjadi pilihan ramai.
“Jika tahu lebih awal, sudah tentu saya menghasilkan lebih banyak pakaian warna oren bata ini,” terangnya.
Sementara itu, permintaan tinggi terhadap pakaian berwarna oren bata telah menyebabkan Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi terpaksa restock baju Melayu warna tersebut.
“Warna ini memang satu Malaysia suruh kami tambah.
“Kita telah tambah sebanyak 250 karton dan bakinya sekitar 300 karton lagi,” katanya dalam satu video yang dikongsi dalam TikTok miliknya.














