fbpx
Pelbagai taktik digunakan oleh ceti haram untuk menjerat mangsa.

Along perguna OKU edar risalah ceti haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Menjelang sambutan Aidilfitri, sindiket pinjaman wang tanpa lesen semakin ligat mencari mangsa dengan menawarkan pinjaman pada kadar faedah rendah dan kelulusan segera.

Kumpulan ceti haram itu menyasarkan mereka yang berdepan masalah kewangan dengan menjadikan medium media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram untuk mengiklankan tawaran tersebut.

Sindiket itu juga dilihat semakin berani apabila bergerak secara terbuka dengan mengedarkan risalah di tempat awam.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, terbaharu, sindiket along itu mengupah golongan yang mudah dimanipulasi iaitu orang kelainan upaya (OKU) lembam dan sebagainya sebagai ejen mereka.

“Setiap kali tiba musim pe­rayaan, tidak dinafikan ada syarikat atau individu yang menawarkan pinjaman wang tanpa lesen. Mereka akan mencari pelanggan yang terdesak menggunakan wang untuk beraya.

“Pelbagai taktik yang mereka gunakan antaranya dengan memuat naik iklan berserta tawaran yang tidak masuk akal di Facebook, WhatsApp dan Telegram.

“Sindiket tersebut juga dikesan mengupah OKU untuk mengedarkan risalah kepada pelanggan di bazar Ramadan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan taktik yang digunakan lintah darat tersebut yang menjanjikan proses pinjaman yang mudah.

“Kaedah ini digunakan bagi menarik orang ramai untuk me­minjam. Terdapat kes yang mana mangsa meminjam RM1,000, namun hanya terima RM450.

“Ceti haram ini memberi alasan bahawa terdapat beberapa kos yang perlu ditolak. Walau bagaimanapun dengan caj dan faedah tersembunyi yang dikenakan, kadar pinjaman RM1,000 boleh meningkat mencecah RM5,000 atau RM6,000 kelak,” katanya.

Beliau berharap orang ramai dapat mengambil iktibar atas kejadian yang berlaku ke atas pemin­jam lain yang pernah menjadi mangsa along sebelum ini.

“Jika ternampak iklan ceti ha­ram di media sosial, saya nasihatkan jangan sesekali mudah terpengaruh, sebaik-baiknya elaklah dari awal. Jangan terje­rat seterusnya menjadi mangsa pada masa akan datang.

“Jangan sesekali memberi sebarang maklum balas jika ternampak iklan sedemikian, saya boleh beri jaminan, tawaran pinjaman begitu secara jelas merupakan satu perangkap,” katanya.

Chee Boon tidak menolak kemungkinan masalah kewangan menjadi punca orang ramai terperangkap untuk membuat pinjaman dengan along terutama pada musim perayaan.

“Ada kes mangsa terdesak mahu beli kelengkapan raya, jadi langkah mudah mereka meminjam sindiket along.

“Bagaimanapun, mereka tidak tahu bahawa tindakan itu bukan satu jalan penyelesaian, sebaliknya permulaan kepada masalah yang panjang,” ujarnya.

Chee Boon turut memberi peringatan kepada sindiket itu agar tidak berasa terlalu selesa menjalankan kegiatan haram tersebut.

“Saya beri amaran bahawa sebarang kegiatan yang salah di sisi undang-undang, pihak berkuasa pasti akan mengambil tindakan termasuk mereka yang menjalankan kegiatan penipuan pinjaman ini, mereka tidak akan terlepas,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN