PETALING JAYA – Pihak pengurusan masjid dan surau digalakkan melantik anak-anak muda di dalam jawatankuasa sekali gus salah satu usaha mengimarahkan rumah ibadah itu dengan kehadiran golongan terbabit.
Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff berkata, pelantikan kumpulan belia juga membantu memberikan idea-idea baharu dan segar dalam menarik golongan itu ke masjid dan surau.
“Sekarang ini (masanya) ke arah anak-anak muda menjadi salah seorang daripada jawatankuasa masjid dan surau. Jadi mudah untuk membuat program kepada golongan tersebut.
“Kita tidak boleh berada di takuk lama, kena ubah mengikut peredaran zaman sebab hiburan menggunakan segala bentuk media untuk menarik anak muda. Jadi kita takkan masih guna kaedah lama dan klasik pula. Tak sama,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau memberi contoh inisiatif dilakukan penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar menerusi kempen Geng Subuh Macam Jumaat yang mendapat sambutan terutama dalam kalangan belia.
“Beribu orang muda ke masjid hendak solat berjemaah dan kemudian diteruskan pula aktiviti joging pagi. Inilah yang anak muda mahu,” katanya.
Mohd. Izhar berkata, justeru beliau memuji usaha yang dimainkan sesetengah pihak masjid yang menjadikan platform media sosial khususnya TikTok dengan pelbagai pendekatan kreatif untuk menarik minat umat Islam termasuk orang muda.
“Sangat positif apabila melihat pihak masjid cuba sedaya upaya ajak orang muda promosi di TikTok. Ia dapat membantu anak muda mengetahui program-program di masjid dan surau.
“Jadi sebagai netizen, kena sokong dan galakkan apa sahaja usaha baik ini bertujuan mengimarahkan masjid. Kita tak boleh negatif, kena sokong selagi mana ia tidak melanggar adat dan syariah,” katanya. -KOSMO! ONLINE














