fbpx
SALMA ASIS

Salma idam pentas AJL lagi, nak tawan Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMILIKI listrik vokal padu, bahkan tidak pernah pulang dengan tangan kosong dalam mana-mana pertandingan, namun populariti penyanyi Salma Asis bagai tersekat di satu aras.

Walau tiada sesiapa mempertikaikan kredibiliti persembahannya terutama dalam membawakan seleksi lagu bernada tinggi, anak jati Sabah itu yakin masa untuknya ‘melonjak’ bakal tiba.

Enggan menyerah, Salma kini kembali dengan single terbaharu berjudul Atas Nama Cinta yang diyakini mampu mengukuhkan lagi namanya di persada muzik tanah air.

Lagu ciptaan bersama Knight Cydeen dan Syaf Ramli menjadi taruhan penyanyi berusia 33 tahun itu untuk memahat posisi ampuh selepas hampir 13 tahun berjuang tanpa lelah.

“Sebelum Atas Nama Cinta, saya ada beberapa single tetapi kurang mendapat sambutan, namun saya percaya dengan rezeki yang tertulis seterusnya berusaha mencari karya baharu.

“Sebaik mendengar lagu ini, terdetik di hati saya untuk merakamkannya berikutan keindahan komposisi irama digabung dengan lirik yang sangat puitis.

“Kali pertama mendengar demo dan menghayati bait lirik, saya seperti mahu menangis. Serius, sangat menyentuh perasaan sehingga terngiang-ngiang,” katanya.

Pemilik nama lengkap Salmah Andi Asis, 33, itu menegaskan tidak pernah putus asa berusaha, bahkan percaya lagu terbitan Awal Muzik Entertainment dan CQ Music Malaysia mampu memberi kepuasan maksima terhadap peminat.

Fokus penghayatan

Malah, bakat yang dicungkil menerusi program Mentor musim kelima dan 3 Juara itu mengakui, pengalaman lalu banyak membantu melancarkan proses rakaman Atas Nama Cinta.

Berkongsi mengenai persediaan masuk studio, katanya semua perincian lebih kepada memahami melodi dan seni kata supaya dapat memberikan penghayatan terbaik.

“Mungkin dulu saya lebih memikirkan bagaimana untuk mencapai nota-nota tinggi ketika menyanyi, tetapi sekarang itu bukan lagi keutamaan.

ENGGAN menyerah kalah, tumpuan Salma kini adalah fokus terhadap rangka promosi jelajah untuk bertemu pendengar.

“Kini saya lebih fokus kepada penghayatan kerana mahu pendengar benar-benar merasai nyanyian supaya impaknya lebih seimbang dan pada masa sama mampu menyentuh hati ramai.

“Mungkin transisi kematangan selain turut mengambil kira komen pendengar membuatkan saya semakin terbuka dalam berkarya,” ujarnya.

Menurut Salma, lagu tersebut juga agak istimewa apabila pernah cuba dirakamkan beberapa penyanyi, tetapi tidak diterbitkan atas beberapa alasan.

“Inilah yang dikatakan rezeki tidak salah alamat. Alhamdulillah apabila lagu ini sampai kepada saya semua proses berjalan dengan begitu baik.

“Cuma dari sudut susunan muzik, saya minta diubah sedikit untuk disesuaikan dengan cara penyampaian saya,” kongsinya lagi.

Impian ke AJL

Mengenai komposer pilihan, tambah Salma, tiada sebarang syarat dalam berkarya asalkan naskhah dihasilkan seseorang penggubah bertepatan selera pendengar dan memenuhi cita rasanya.

“Secara peribadi, saya tiada masalah untuk bekerja dengan komposer senior atau baharu kerana paling penting karya ini diterima ramai.

“Setiap pengkarya mempunyai identiti tersendiri, sekali gus memberi nilai tambah terhadap bingkisan dendangan yang kita bawakan,” ulasnya.

SALMA berharap lagu baharu dapat membawanya kembali beraksi di pentas AJL selepas kali terakhir bolos dengan Akhirnya Cinta pada AJL32.

Tidak berselindung dalam mengatur strategi, juara Mentor musim kelima itu berharap Atas Nama Cinta mampu bolos ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) tidak lama lagi.

“Yakin pada rezeki dan siapa tahu lagu ini dapat membawa saya kembali beraksi di pentas AJL selepas kali terakhir bolos dengan Akhirnya Cinta pada AJL32.

“Bagi saya komposisi naskhah ini sangat istimewa yang tentu saja mampu bersaing dengan dendangan terbaik lain,” ujarnya.

Tembusi Indonesia

Turut menyimpan impian mencipta nama di gelanggang lebih besar termasuk menembusi pasaran Indonesia, hasrat tersebut menjadi pembakar semangat agar tidak mudah berputus asa.

“Hakikatnya setiap penyanyi mempunyai sasaran, tidak terkecuali saya yang berharap dapat membawa negara sekurang-kurangnya di rantau ini terutama Indonesia.

“Bagi merealisasikan impian itu tentu saja memerlukan kesungguhan, semangat serta sokongan sekeliling termasuk peminat.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang terus percayakan bakat dan kemampuan saya selain terima segala kelebihan dan kekurangan dengan hati terbuka,” ujarnya.

Turut rancak menggunakan platform media sosial sebagai medium berkomunikasi dengan semua pendengar, anak didik Erra Fazira itu juga peka dengan segala komen pengikutnya.

Baginya, suka atau tidak keterbukaan netizen perlu diambil kira supaya seseorang penyanyi tidak dilabel syok sendiri.

“Pada era media sosial, perjalanan seseorang anak seni itu lebih mencabar tetapi saya sentiasa positif bahkan peka dengan komen netizen.

“Apapun doakan semoga usaha terbaharu saya ini membuahkan hasil sekali gus mampu melakar kejayaan besar dalam karier yang saya cintai ini,” tambahnya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN