fbpx
Gambar hiasan

Wajarkah kita kembali kepada UPSR?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Selepas mengambil kira pandangan ibu bapa, Kementerian Pendidikan (KPM) kelmarin memutuskan untuk menukar kaedah pelaporan tahap penguasaan (TP) Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi semua mata pelajaran murid di sekolah rendah kepada peratus dan gred mulai sesi persekolahan tahun ini.

Langkah itu telah disambut baik banyak pihak kerana mereka menganggap skor mata pelajaran dalam bentuk TP yang diguna pakai sebelum ini sebagai kurang tepat dan agak mengelirukan untuk mengukur prestasi pembelajaran sebenar seseorang murid.

Sebelum ini, skor setiap mata pelajaran bagi UASA dipaparkan dalam bentuk TP iaitu antara 1 hingga pada tahap 6.

Rata-rata dalam kalangan ibu bapa pula menyifatkan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek itu sebagai cakna terhadap kesukaran mereka untuk memahami sistem TP yang diamalkan sebelum ini.

Bagi mereka, sistem peratus dan gred yang akan dilaksanakan nanti akan lebih mudah difahami untuk mengukur pencapaian dan tahap akademik sebenar anak masing-masing.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama, ramai juga dalam kalangan ibu bapa sebenarnya masih menaruh harapan agar sistem penilaian seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dilaksanakan sebelum ini diadakan semula.

Bagi mereka sistem penilaian seperti UPSR yang mula dilaksanakan pada 1988 itu bukan sahaja dapat mengukur prestasi atau pencapaian sebenar seseorang murid, malah turut menyebabkan anak-anak lebih bersungguh-sungguh dalam pembelajaran.

Ini kerana, mereka perlu berlumba-lumba dan bersaing dalam pembelajaran supaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan itu.

Malah, ramai berpendapat, guru-guru di sekolah juga secara tidak langsung akan lebih memberi perhatian kepada kemajuan pelajaran murid-murid mereka demi menjaga reputasi guru dan sekolah itu sendiri.

Malah, saringan untuk kemasukan pelajar ke sekolah-sekolah berasrama penuh atau sekolah-sekolah terpilih akan lebih mudah dibuat berdasarkan merit dengan mengambil mereka yang mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Jadi, tidaklah nanti ada kes-kes yang murid tidak layak dari segi akademik, tetapi dapat belajar ke sekolah-sekolah tersebut, sedangkan mereka yang sebenarnya pandai tidak mendapat tempat yang sepatutnya.

Jika diteliti semula semua faktor-faktor ini, ada asasnya juga mengapa masih ramai dalam kalangan ibu bapa mahukan sistem peperiksaan seperti UPSR ini diadakan semula.

Tidak kiralah apa pun namanya, asalkan prestasi seseorang murid itu diukur berdasarkan peperiksaan yang ditambah baik dengan sistem yang diamalkan sekarang dan paling penting diiktiraf dan diperakui oleh semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN