SUNGAI PETANI – Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan bas untuk balik kampung mulai terkesan apabila tiket itu didapati naik sekitar RM10 hingga RM20.
Tinjauan di Terminal Sungai Petani mendapati, sejak beberapa hari lalu tiada keseragaman harga membabitkan perjalanan yang sama seperti sebelum ini menyebabkan pengguna mula mengeluh kerana terpaksa berbelanja lebih untuk balik menyambut hari raya di kampung.
Seorang pelajar sebuah universiti di Johor Bahru, Muhammad Iman Zainal Abidin, 21, berkata, dia terkejut mendapati harga tiket dari Johor Bahru ke Sungai Petani seminggu sebelum sambutan perayaan telah alami kenaikan ketika membeli dalam talian semalam.
“Biasanya tambang dari sini ke Johor Bahru antara RM70 ke RM80 sahaja, semalam tiket bas untuk pulang bercuti seminggu sebelum raya telah naik antara RM100 hingga RM120.
“Kami sebagai pelajar rasa terbeban dan saya tidak jadi tempah tiket kerana perlu mencari alternatif lain seperti menumpang kereta kawan untuk pulang nanti,” katanya semasa ditemui di sini semalam.
Sementara itu, pengguna perkhidmatan bas ekspres ke Johor Bahru, Rosealiana Zulkifli Lim, 22, daripada Kampung Sawa,Baling, berkata, kenaikan harga tiket bas memang akan berlaku tiap kali menjelang sambutan perayaan.
“Sejak saya belajar di sebuah universiti di Johor Bahru dua tahun lalu, tiap kali musim perayaan harga tiket untuk ke Sungai Petani akan meningkat daripada RM90 kepada RM139.
“Harga tiket kapal terbang lebih murah iaitu sekitar RM104 sahaja dari Lapangan Terbang Senai dan tidak perlu menanggung kos yang tinggi untuk pulang beraya bersama keluarga,” kata pelajar tahun empat insitusi pengajian tinggi itu.
Bagi pekerja swasta di Shah Alam, Selangor, yang mahu dikenali sebagai Jamilah berkata, dia terpaksa guna perkhidmatan bas ekspres untuk pulang beraya bersama tiga anak ke kampung halamannya di Merbok berikutan tidak mempunyai kenderaan sendiri.
“Walaupun tiap tahun harga tiket mengalami kenaikan saya tiada pilihan kerana itulah cara mudah untuk pulang bercuti menyambut raya.
“Sekarang tiket untuk ke Shah Alam RM56 sahaja tetapi masuk dua minggu berpuasa ianya boleh mencecah antara RM80 hingga RM90 untuk satu hala perjalanan,” katanya yang mengakui agak terbeban.














