MAKANAN basi, hangit dan tidak sepadan dengan harga. Itu antara keluhan pengguna mengenai kualiti juadah berbuka puasa yang dibeli setiap kali masuk bulan Ramadan.
Selain kualiti, harga mahal juga menjadi topik hangat yang sering diperdebatkan pengguna terutama di media sosial.
Ketidakpuasan hati berkaitan isu-isu tersebut sememangnya tidak berkesudahan dengan perkara sama dijangka berulang lagi.
Malah, menjelang ketibaan bulan puasa pada minggu depan, orang ramai sudah mula membicarakan tentang nasihat yang boleh diberikan kepada peniaga bazar Ramadan.
Antaranya meminta peniaga menyediakan sajian dengan penuh rasa tanggungjawab dengan menjaga kualiti, rasa serta bukan sekadar mengambil kesempatan untuk mengaut untung di bulan Ramadan.
Mereka juga berharap agar peniaga tidak menjual juadah yang tidak habis dan sudah rosak pada keesokan harinya kepada pelanggan.
Malah, menjelang bulan puasa, orang ramai meminta peniaga memasak dengan penuh kasih sayang dan ikhlas selain memastikan juadah dijual lazat, bersih serta ditawarkan pada harga berpatutan.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor sebelum ini memberitahu, hukum menjual makanan tidak berkualiti seperti basi dan hangit adalah haram.
Beliau juga menyeru peniaga supaya bertimbang rasa kepada pembeli kerana juadah dibeli untuk dimakan semasa berbuka, selain Ramadan merupakan peluang keemasan kepada golongan itu mencari pahala.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shamsul Nizam Khalil baru-baru ini berkata, pihaknya akan memantau operasi bazar Ramadan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna.
Katanya, pemantauan akan dilakukan daripada semua aspek termasuk harga jualan tidak munasabah yang dikenakan peniaga kepada pengunjung bazar Ramadan.
Jelasnya, peniaga yang mengenakan harga tinggi boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kualiti dan harga makanan di bazar Ramadan setiap tahun.
“Kita berharap tiada lagi aduan mengenai kes makanan basi, kuih tidak sepadan dengan harga seperti karipap angin selain peniaga jual makanan pada harga tinggi,” katanya.
Katanya, kalangan peniaga terutama yang baru berniaga di bazar serta gerai-gerai pada Ramadan ini diminta agar mengutamakan kualiti makanan dan menjual juadah pada harga berpatutan.
“Kita jangka tahun ini peniaga bazar berhadapan kesukaran berikutan kos bahan mentah termasuk beras yang semakin meningkat, jadi jangkaan kita akan berlaku peningkatan harga.
“Kita kena kawal nafsu di bulan puasa ini, jangan beli berlebihan dan pilih gerai yang bersih. Jika tidak yakin dan tidak berpuas hati dengan kualiti serta harga, elakkan membeli,” katanya.














