fbpx
Antara jeti yang terdapat di sepanjang Sungai Perak di Teluk Intan.

Ikan di sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia makin pupus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LENGGONG – Nelayan yang mencari rezeki di Sungai Perak di sini, kini berdepan kesukaran untuk meneruskan kelangsungan hidup apabila sumber pendapatan mereka terjejas teruk ekoran kekurangan ikan di sungai ber­kenaan sejak kebelakangan ini.

Menurut mereka, antara punca kekurangan ikan di sungai ke­dua terpanjang di Semenanjung Malaysia itu adalah disebabkan faktor manusia selain isu keha­diran ikan pemangsa.

Seorang nelayan di Lenggong, Abu Kasim Sulaiman, 46, berkata, masalah hakisan yang berpunca daripada aktiviti pe­nerokaan hutan dan pembalakan turut menjejaskan sumber hidupan air di sungai berkenaan.

“Dahulu Sungai Perak ini air­nya dalam dan banyak batu. Sekarang ini, pasir terlalu banyak akibat aktiviti pembalakan.

“Disebabkan pasir yang terlalu banyak, batu-batu tersebut terkambus. Pam sedut pasir pun sudah tiada di kawasan ini. Akhir­nya, habitat ikan makin pupus,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, kira-kira 3,000 nelayan darat di seluruh negeri ini sedikit lega apabila Jabatan Perikanan melepaskan 172,500 ekor benih ikan ke di Sungai Perak seperti lampam, terbul, temoleh dan udang galah.

Katanya, langkah itu mungkin memberi kesan positif jangka panjang, tetapi faktor-faktor penyebab lain perlu diatasi segera bagi memastikan sumber hidupan air di Sungai Perak sentiasa terpelihara.

“Ada juga faktor sampingan seperti penggunaan racun perosak kerana terdapat aktiviti penanaman sayur-sayuran di beberapa kawasan di tepi sungai,” kata Abu Kasim.

Seorang lagi nelayan, Mohamad Shahrul Buari, 48, berkata, dia mengakui situasi kekurangan ikan mungkin ada yang disebabkan faktor musim selain keha­diran ikan pemangsa khususnya baung ekor merah.

“Sekarang ini ikan pemangsa terlalu banyak. Saiz ikan baung ekor merah memang besar dan berat mencecah 30 kilogram ke atas seekor. Hampir semua jenis ikan dimakannya.

“Kesan daripada semua ini adalah para nelayan darat yang kehilangan punca pendapatan kerana kami bergantung kepada hasil Sungai Perak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN