KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah mengambil tindakan proaktif menurunkan semula kain pemidang iklan Klinik Perubatan UniSZA Medical Services Sdn. Bhd. (UMC) yang tular kerana berbaur lucah kurang lima jam selepas dinaikkan pada 13 Julai lalu.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam mengakui kain pemidang iklan diuruskan anak syarikat milik UniSZA Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) tersebut telah menimbulkan kekeliruan serta ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat.
“UniSZA memandang serius perkara tersebut kerana ia melibatkan komunikasi atau bahan promosi yang menggunakan nama serta imej universiti.
“UHSB juga telah diarahkan menjalankan siasatan dalaman serta menambah baik proses semakan bahan promosi bagi memastikan perkara sama tidak berulang lagi,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, UHSB mengemukakan permohonan maaf berikutan pemasangan kain pemidang iklan Klinik Perubatan UMC yang dikatakan menggunakan perkataan yang dianggap tidak sesuai dan keterlaluan.
Pemasangan kain pemidang untuk iklan perkhidmatan rawatan kesihatan lelaki itu menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat setempat sehingga tular di media sosial.
Fadzli berkata, UniSZA turut mengarahkan UHSB menyemak semula proses semakan dan kelulusan semua bahan promosi di bawah syarikat-syarikat miliknya supaya lebih teliti, profesional serta menghormati sensitiviti masyarakat.
Beliau berkata, UniSZA juga akan terus memantau pelaksanaan langkah penambahbaikan tersebut bagi memastikan semua bentuk komunikasi dan promosi yang membawa nama universiti sentiasa mencerminkan nilai profesionalisme, integriti serta tanggungjawab sosial. – KOSMO! ONLINE














