fbpx
TIDAK pernah mengejar trend, penyanyi Aizat Amdan selesa dalam radar muzik dan kejujuran dalam setiap penghasilan karya yang menjadi formulanya sejak dahulu.

Orang kutuk fizikal tapi bukan muzik – Aizat Amdan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEBERAPA tahun kebelakangan ini, nama Aizat Amdan agak sepi daripada radar industri muzik tanah air. Ada yang menyangka, bintang kelahiran Akademi Fantasia itu merajuk dek muziknya sudah kurang meraih sambutan.

Ada sahaja spekulasi bercakap tentang ‘kehilangan’ pemilik nama penuh Muhammad Aizat Amdan, hakikatnya empunya diri selesa bekerja di belakang tabir menghasilkan karya muzik berkualiti.
Jika hendak dinilai kualiti kerjanya, kredibiliti Aizat sebagai penyanyi, komposer dan pemuzik tidak perlu dipertikaikan. Buktinya, pelbagai anugerah sudah dijulang dan banyak pengiktirafan telah diraih selama ini.

Melihat katalog lagunya juga, Aizat nyata antara penyanyi dan komposer yang menonjol untuk generasinya.

Kata penyanyi berusia 35 tahun itu, tiada perkara yang perlu dikejarnya ketika ini. Dia hanya bergerak mengikut rentak dan selebihnya bergantung kepada rezeki Tuhan.

Bukan tidak mahu mengejar trend tetapi baginya perkara tersebut berlaku terlalu pantas sehingga tidak terjangka.

Lantas, dia memilih pendirian menghasilkan sesuatu dengan kejujuran hati.

“Bagi saya, zaman sekarang sudah tiada lagi trend tertentu. Semua genre muzik sama naik dan memiliki pendengar serta peminat sendiri.

AIZAT menolak anasir negatif yang meramalkan kesuraman persembahannya dalam konsert bersama bintang Seberang, Fabio Asher menjelang 24 Februari nanti.

“Jadi, kalau saya hendak hasilkan sesebuah karya, tak perlu mengejar trend sebab kadang-kadang karya itu yang mencipta trend atau fenomenanya sendiri,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Mengulas lanjut, penerima Anugerah Juara Lagu ke-24 (Pergi) itu berpendapat trend muzik hari ini agak sukar untuk diramal, namun penyanyi dan komposer yang bagus perlu melahirkan karya berkualiti.

“Cabaran pada hari ini ialah bagaimana hendak mencari keseimbangan dalam menghasilkan karya yang berkualiti tetapi tetap mengikut selera ramai.

“Kalau boleh, sebagai komposer, saya tidak mahu dilabel sebagai syok sendiri tetapi tetap ingin mencuba sesuatu yang baharu bagi mencetuskan transisi dalam muzik sendiri.

“Bagi saya, penyanyi hari ini juga harus bijak melakukan promosi yang sesuai dengan peredaran masa tetapi prinsip saya, tiada gimik murahan,” katanya yang pernah popular menerusi lagu Hanya Kau Yang Mampu itu.

Dalam pada itu, walaupun kerjaya muziknya dianggap perlahan, anak kelahiran Kuala Lumpur itu bersyukur lagu-lagu lamanya masih menjadi siulan dan meraih pujian ramai sehingga hari ini.

“Ketika memasuki bidang ini sejak dahulu, saya tidak pernah terfikir untuk kejar jadi nombor satu.

SAMPAI ke hari ini, Aizat berasakan sudah tidak perlu baginya terkejar-kejar meniru muzik mana-mana pihak hanya semata-mata mahu kekal relevan.

“Formula saya terapkan dalam setiap penghasilan adalah jujur dan ikhlas. Kalau kita menyanyi jujur, pendengar pasti akan dapat rasa dan menjiwainya dengan baik.

“Sehingga hari ini, orang mungkin selalu kutuk bentuk fizikal saya, tapi belum ada lagi yang mengatakan muzik saya tidak relevan.

“Perkara itu sudah cukup untuk membahagiakan diri sendiri sebagai penyanyi,” kongsinya.

Teruja berkongsi tentang konsertnya bersama Fabio Asher pada 24 Februari ini, Aizat menyifatkan acara tersebut sebagai platform untuk menyerlahkan bakatnya di negara lain.

Dalam masa sama, dia juga melihat Fabio mempunyai minat dan keperibadian yang hampir sama sepertinya.

AIZAT percaya, sesebuah lagu berkualiti akan mampu mencipta trend tersendiri tanpa perlu bergantung muzik yang sedang menjadi kegilaan semasa.
– FARIZWAN HASBULLAH

Konsert

“Setakat ini kerjasama saya dengan Fabio berjalan lancar. Kami tahu apa yang diingini dan memang rasa seperti melihat diri sendiri pada Fabio.

“Insya-Allah konsert itu akan berlangsung dengan baik dan mungkin akan jadi platform terbaik mempamerkan bakat dan karya kepada peminat luar khususnya Indonesia,” katanya.

Ditanya sama ada akan melancarkan single duet bersama Fabio pada konsert tersebut, dia enggan memberi sebarang harapan kepada peminat sebaliknya membiarkan semuanya berlaku tanpa paksaan.

“Idea keluarkan single bersama itu menarik tetapi kalau boleh biarlah berlaku secara spontan tanpa perlu paksa mana-mana pihak.

“Hendak hasilkan lagu duet pun bukan mudah, perlukan masa tetapi kalau Fabio okey, insya-Allah boleh direalisasikan,” tuturnya.

Menjawab dakwaan wujud kerisauan bakal ditenggelamkan Fabio menjelang malam konsert, dia tidak pernah memikirkan hal remeh sebegitu.

“Tiada istilah siapa makan siapa pada konsert itu nanti. Masing-masing mempunyai kekuatan dan peminat sendiri.

“Kelebihan saya ialah konsert itu berlangsung di Kuala Lumpur, manakala Fabio pula boleh dikira masih hijau dalam industri.

“Tolak ke tepi semua anasir negatif dan kalau boleh semuanya berlangsung dengan lancar sahaja,” jelasnya.

Pada konsert yang akan berlangsung di JioSpace, kedua-duanya akan mendendangkan rantaian lagu hits mereka seperti Sungai Lui, Lagu Kita, Rumah Singgah dan Tanpa Rasa Bersalah.

AIZAT percaya, penyanyi zaman ini harus bijak melakukan promosi yang sesuai tetapi dalam masa sama, dia menolak gimik murahan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN