PETALING JAYA – Rata-rata peniaga masih lagi mengiklankan penjualan ‘energy stick’ di media sosial dan platform beli-belah online meskipun pihak berkuasa sedang berusaha mengekang penjualan produk itu.
Tinjauan Kosmo! mendapati, terdapat lebih 10 penjual di platform dalam talian itu masih menjual produk terbabitdengan harga serendah RM2.50 hingga RM10 seunit.
Pelbagai variasi perisa boleh diperolehi antaranya tembikai, anggur, mangga, jambu batu dan blue mint dan kebanyakan stok masih banyak.
Bagaimanapun, rata-rata peniaga tidak menjualnya secara pengeposan sebaliknya urusan jual beli dilakukan secara bayar selepas penghantaran (COD).
Menurut salah seorang penjual yang enggan dikenali berkata, stok produk terbabit masih banyak, namun dia hanya menjual kepada pelanggan yang tinggal berdekatan kawasannya sahaja.
“Encik nak flavour (perisa) apa, stok semua ada dan masih banyak.
“Tetapi, maaf kita tiada pos, kalau nak beli kami boleh COD di kawasan berdekatan,” balasnya ringkas kepada Kosmo!.
Pada masa sama, penjual berkenaan turut menyarankan agar pembeli yang ingin membeli secara pos berurusan dengan penjual di platform dalam talian.
“Kalau nak senang, encik boleh beli terus dalam platform beli-belah, di situ pun ramai yang jual,” ujar peniaga dari Kuching Sarawak itu.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah awal apabila mengeluarkan larangan penggunaan energy stick atau produk penyedut hidung dalam kalangan murid dan pelajar sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, meminta ibu bapa serta pihak sekolah untuk mengambil perhatian berkaitan isu berkenaan agar anak-anak mereka tidak terjebak dengan pengambilan energy stick berkenaan.
Pada masa sama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengakui sudah menerima aduan berhubung produk penyedut hidung atau energy stick berleluasa di media sosial.
Kehadiran energy stick dengan saiz kecil seperti pemetik api dan mempunyai pelbagai pilihan perasa itu dibimbangi boleh mengheret golongan muda menjadi penagih vape.















