SEJAK kebelakangan ini, kita sering disaji dengan berita melibatkan penipuan dalam talian sehingga menyebabkan kerugian puluhan ribu mahupun jutaan ringgit mangsa scam.
Di era serba digital ini, dengan teknologi serba canggih pelbagai taktik digunakan oleh scammer bagi menipu orang ramai.
Antara yang kerap berlaku melibatkan pelaburan tidak wujud dan pinjaman tidak wujud, tunggakan pembayaran, love scam dan sebagainya.
Perlu diingatkan setiap pautan atau penyebaran mesej melalui pelbagai platform perlu diteliti terlebih dahulu sebelum menekan pautan agar kita tidak terjerat sebagai mangsa.
Pelbagai kes menarik perhatian pada awal tahun ini melibatkan kerugian besar, antaranya seorang pemilik bistro terpaksa berputih mata selepas wang miliknya berjumlah RM370,000 lesap bahana ditipu rakan untuk menyertai pelaburan online.
Selain itu, seramai 12 individu berusia 46 hingga 71 tahun kerugian RM5,071,178 selepas terperdaya dengan skim pelaburan mata wang kripto dalam talian.
Baru-baru ini, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) merekodkan kerugian berjumlah RM1.34 bilion melibatkan 33,235 kes jenayah dalam talian dari 1 Jan hingga 8 Dis tahun lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, angka itu diperoleh NSRC berdasarkan aduan mangsa di talian 997.
Katanya, kerugian itu melibatkan enam modus operandi dengan jenayah pelaburan tidak wujud mencatatkan angka tertinggi iaitu RM437 juta diikuti e-dagang (RM383 juta), telekomunikasi (RM334 juta), e-kewangan (RM104 juta), love scam (RM41 juta) dan pinjaman tidak wujud (RM39 juta).
Ini menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia yang mudah terpedaya dengan tipu helah sindiket scam ini dan perlu dibendung segera.
Sementara itu, Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, rakyat di negara ini antara yang mudah tertipu dengan sesuatu perkara yang mewah serta tawaran istimewa.
Jelasnya, biarpun ramai mengetahui penipuan dalam talian ini wujud, namun masih terdapat individu terperdaya dengan sindiket itu.
“Kita juga tahu mengenai scammer ini melalui pelbagai platform, tetapi masih ada orang yang percaya.
“Ada yang tahu kawan mereka kena tipu, tetapi dia pun kena tipu juga… itu menjadi masalah terhadap masyarakat kita yang kurang cakna mengenai perkara ini,” ujarnya.
Tambah Shahul Hamid, scammer sangat bijak mengambil ruang dan peluang dalam melakukan penipuan serta menyasarkan mereka yang kurang pengetahuan dalam bidang teknologi.
“Target mereka (scammer) adalah kepada orang yang kurang mahir dalam media sosial, menyebabkan mangsa mudah dipengaruhi,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak menjawab panggilan terutama daripada mereka yang menawarkan apa-apa perkhidmatan atau perolehan hasil lumayan.
“Sebab itu, saya selalu berpesan perkara paling penting adalah jangan layan…apabila kita melayan sahaja kita akan mudah terpengaruh dan mudah tertipu dengan pelbagai tawaran yang mereka nyatakan.
“Bila angkat telefon sahaja..saya daripada sekian-sekian terus padam dan jangan layan… apabila layan ini yang menyebabkan mangsa akan ditipu,” jelasnya.














