YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal menamatkan pemerintahan baginda berkuat kuasa 30 Januari 2024 atau Selasa ini.
Al-Sultan Abdullah telah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.
Sementara itu, Sultan Ibrahim Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.
Tempoh peralihan tampuk pimpinan tertinggi negara tersebut pasti melonjakkan lagi wacana perbincangan berkenaan institusi diraja dalam kalangan masyarakat. Bagi mengulas lanjut, wartawan Kosmo! Ahad, SITI SARAH NURUL LIYANA berkesempatan menemu bual pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.
KOSMO! AHAD : Boleh Datuk ulas lebih lanjut berkenaan peranan raja dalam sistem perlembagaan yang diamalkan di negara ini?
SHAMRAHAYU: Dalam pentadbiran Malaysia, kita mengamalkan demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan yang mempunyai hubungan undang-undang secara umumnya. Punca kepada undang-undang itu datangnya daripada amalan tradisi yang kita warisi. Pada awalnya, sebelum demokrasi berparlimen diperkenalkan, kita mengamalkan sistem beraja mutlak. Sistem tersebut meletakkan prinsip-prinsip pentadbiran berkenaan tata cara baginda dalam melaksanakan amanah yang digalas. Puncak kuasa sistem tersebut adalah kepada raja dan raja memiliki kuasa budi bicara. Namun begitu, raja juga tertakluk kepada hukum-hakam. Sebelum membuat keputusan, raja akan melakukan musyawarah bersama pembesar-pembesar istana.
Semasa pemerintahan British, negeri-negeri dikehendaki menyediakan undang-undang tubuh bagi negeri. Untuk itu, Raja telah bermesyuarat dengan pemimpin-pemimpin Melayu bagi mencapai kata sepakat. Ini membuktikan, elemen tradisi bermusyawarah itu telah wujud dalam kesultanan Melayu.
Selepas Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, British memperkenalkan sistem demokrasi tanpa mengetepikan kuasa raja sedia ada. Sistem demokrasi ini diperkenalkan melalui perlaksanaan pilihan raya di peringkat negeri dan Persekutuan. Seterusnya amalan ini dilaksanakan selepas merdeka dengan menggabungkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang juga berasaskan kepada Perlembagaan.
Bagaimanakah pelaksanaan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen berfungsi?
Pelaksanaan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen ini dapat dilihat, sebagai contoh, dalam urusan pelantikan Perdana Menteri. Dari sudut demokrasi, rakyat memilih ahli-ahli Dewan yang mewakili mereka di Parlimen. Sementara itu, raja menerusi kuasa budi bicara baginda memilih Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 43(3) yang dibaca bersama Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Ini menunjukkan sistem Malaysia masih lagi menerima sistem monarki dengan mengiktirafkan kuasa budi bicara raja dalam perlembagaan.
Gabungan kedua sistem ini dapat menyelesaikan konflik dalam pentadbiran negara beberapa tahun lalu. Seterusnya ia juga telah menyelesaikan konflik apabila berlaku Parlimen tergantung selepas Pilihan Raya 15 (PRU15). Pada ketika itu, tiada parti politik yang memenangi majoriti mudah sekali gus menyukarkan Agong untuk memilih Perdana Menteri. Di sini, terzahirnya peranan raja berperlembagaan dalam memastikan sistem demokrasi tersebut dapat kembali stabil menerusi kebijaksanaan raja-raja.

Bagaimana sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berfungsi dari sudut undang-undang dan amalan di negara ini?
Institusi YDPA dicipta bagi meletakkan posisi raja di puncak dan menaungi keseluruhan persekutuan. Kuasa YDPA diperjelas lagi di negeri-negeri yang tidak memiliki raja seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, terutama dalam hal-hal berkaitan dengan agama Islam. Secara umumnya, baginda merupakan ketua negara dan dipilih menerusi Persidangan Majlis Raja-Raja.
Sebelum merdeka, Majlis Raja-Raja telah bersepakat untuk membuat penggiliran YDPA menerusi kekananan baginda-baginda iaitu berdasarkan tempoh paling lama seseorang raja itu bersemayam di atas takhta negeri. Oleh itu, pada penggiliran pertama, sultan pertama ditabal sebagai Agong adalah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman. Kini, negara mencapai penggiliran kedua. Pada penggiliran ini, bukan lagi mengikutkan kekananan, tetapi menyambung aturan penggiliran pertama.
Tidak lama lagi, kita akan saksikan istiadat keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin dan keberangkatan tiba, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Negara. Acara ini pada kebiasaannya akan disempurnakan oleh bahagian protokol di Jabatan Perdana Menteri. Anak-anak muda perlu perhati dan hayati istiadat ini kerana ia merupakan identiti negara kita.
Kalau kita amati upacara pertabalan Putera Charles sebagai Raja United Kingdom dan upacara pengebumian Ratu Elizabeth II, mereka masih melakukannya dengan penuh tradisi yang diwarisi selama ratusan tahun. Begitu juga dengan Malaysia. Oleh itu, kita tidak boleh merasakan istiadat ini satu pembaziran kerana ia adalah nilai-nilai tradisi yang menjadikan kita eksklusif dengan identiti tersendiri.
Apakah perbezaan sistem raja berperlembagaan di Malaysia dan di Britain?
Britain tidak memiliki perlembagaan bertulis dan diamalkan menerusi amalan mereka. Ini berbezakan dengan kita yang memiliki perlembagaan bertulis. Di Britain, undang-undang tertinggi adalah undang-undang yang dibuat oleh Parlimen iaitu Akta. Ini bermaksud, raja bertindak atas nasihat dalam segala hal. Tapi di Malaysia, terdapat perkara di mana raja tidak perlu bertindak di atas nasihat. Biarpun Malaysia dikatakan mengambil amalan Westminster daripada British, namun terdapat perbezaan dalam tafsiran prerogatif atau budi bicara. Pada mereka, raja memiliki kuasa, namun pelaksanaannya dilakukan oleh pihak eksekutif atau kerajaan yang dipilih. Perbezaan seterusnya adalah sumbernya iaitu nilai-nilai tradisi dan adat Melayu yang berbeza dengan masyarakat di Britain.
Apakah pandangan Datuk terhadap sambutan rakyat terhadap pendekatan Al-Sultan Abdullah sepanjang tempoh pemerintahan baginda?
Kalau kita lihat kepada sosiologi kita, golongan bangsawan jauh dari masyarakat. Tetapi kita tidak boleh lupa ungkapan ’raja dan rakyat berpisah tiada’. Pada saya, masyarakat Malaysia secara keseluruhan menjadi sangat teruja dengan Al-Sultan Abdullah sebagai YDPA atas beberapa faktor.
Pertama, faktor keperibadian keluarga diraja itu sendiri. Di Pahang, ramai sudah mengetahui tentang kemesraan dan keprihatinan Al-Sultan Abdullah dan Tuanku Azizah, bahkan ramai juga mengenali tentang ayahanda baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Kedua, tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai YDPA boleh dikatakan sebagai tempoh yang mencabar dengan berlakunya pergelutan politik dan isu kesihatan awam secara global.
Kejayaan baginda mendepani cabaran tersebut menyumbang kepada penerimaan positif rakyat Malaysia terhadap pemerintahan baginda. Selain itu, baginda juga telah berusaha mendekati rakyat di negeri tidak beraja. Kembara Kenali Borneo salah satu sampel kepada usaha Al-Sultan Abdullah merealisasi aspirasi ‘raja dan rakyat berpisah tiada’.
Empat kali Perdana Menteri bertukar di bawah pemerintahan Al-Sultan Abdullah. Ini merupakan sesuatu yang baru dalam pentadbiran negara, apakah pandangan Datuk?
Pada pengamatan saya, ini adalah cabaran utama sepanjang pemerintahan baginda. Ia merupakan suatu yang belum pernah berlaku.
Baginda telah meneliti daripada pelbagai dimensi bagi mengesahkan bahawa seseorang Perdana Menteri itu sudah hilang sokongan majoriti.
Untuk pelantikan Perdana Menteri baharu juga memerlukan proses yang tidak mudah. Melalui peristiwa-peristiwa ini, kita dapat melihat kewibawaan Al-Sultan Abdullah dalam melaksanakan tanggungjawab baginda mengikut perlembagaan biarpun situasi sama tidak pernah berlaku pada pentadbiran Malaysia sebelumnya.
Kemudian, ketika berlaku pergantungan Parlimen selepas PRU 15, baginda juga menangani isu tersebut dengan baik mengikut peruntukan perlembagaan.
Selepas ini, negara bakal mendapat Ketua Negara baharu iaitu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong. Apakah harapan Datuk untuk pemerintahan baharu ini?
Saya berharap masyarakat tidak membandingkan karakter-karakter raja-raja kerana perkara itu milik peribadi. Karakter juga berdasarkan persepsi rakyat.
Pada saya, paling penting adalah perlaksanaan tugas YDPA yang menjaga kebajikan rakyat serta kedaulatan negara. Secara umum, baginda bertanggung jawab jadi seorang ketua negara yang berwibawa, menjadi ketua angkatan tentera yang boleh menjamin kedaulatan negara, menjadi simbol perpaduan rakyat, menjadi penjamin kepada kedudukan Islam dan menjaga perlembagaan.
Sebagai rakyat biasa, apakah usaha yang kita boleh lakukan bagi menunjukkan taat setia kepada sistem beraja ini?
Negara ini bukan hanya di bawah tanggungjawab pemimpin, malah di bawah tanggungjawab rakyat. Seorang rakyat perlu menjadi insan yang berakhlak tinggi, menghormati kedaulatan raja dan mematuhi undang-undang.
Rakyat digalakkan menasihati pemimpin-pemimpin negara termasuk institusi diraja, namun haruslah beradab. Kita perlu menghormati perbezaan dan meraikan kepelbagaian dalam memberi pandangan. Dari segi tanggungjawab sosial, kita semua mempunyai tanggungjawab dan memiliki fungsi.















