fbpx
Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah

Duo diraja ‘tercomel’, sweet bakal dirindui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sesungguhnya hati ini tersentuh kala merenung firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 59: “Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah rasul dan taatilah ulil amri dalam kalangan kamu.”

Bersyukur kita rakyat Malaysia dikurniakan raja yang selayaknya ditumpahkan taat setia.

Tiga hari lagi, berakhirlah tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memayungi rakyat sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Di mana-manapun sudah ramai dalam kalangan rakyat jelata yang menyuarakan kesedihan dan akan merindui Al-Sultan Abdullah serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di lapangan atau hal ehwal tertinggi negara.

Bila dikhabarkan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah akan mencemar duli membaca berita di televisyen baru-baru ini boleh dikatakan hampir semua grup WhatsApp yang ada berkongsi berita tersebut.

Begitulah gambaran keterujaan rakyat jelata untuk menatap wajah-wajah kesayangan itu yang bakal dirindui pada majlis-majlis utama negara.

Komen-komen di media sosial termasuk pada video-video penyampaian berita Tuanku berdua oleh rakyat Malaysia pelbagai kaum membuktikan baginda berdua sangat disayangi.

Ada yang mengaku sudah lama tidak menonton berita televisyen, akhirnya berbuat demikian semata-mata kerana Tuanku berdua.

“Jarang sekali aku nak tengok berita TV, tapi disebabkan Agong dan Raja Permaisuri aku terus tengok ya tadi. Sedih rasa bila baginda nak balik Pahang,” ciap seorang netizen di platform X.

“Daulat Tuanku berdua. Tersenyum, tertawa dan sedih kerana tuanku akan menamatkan tugas YDPA. Patik akan kehilangan tingkah Tuanku berdua yang sangat mesra rakyat.

Semoga Tuanku berdua diberkahi dan dikurniai rahmat oleh Allah SWT. Daulat Tuanku Payung Negara,” tulis seorang lagi netizen di YouTube.

“Buat tersenyumlah tengok segmen Buletin Diraja ni. Comel je. Moga Allah sentiasa lindungi Al- Sultan dan Permaisuri,” kata seorang yang lain.

Pastinya rakyat akan merindui pesona duo diraja ini yang dianggap paling sporting, sweet, comel, mesra adakalanya ringkas dan romantik yang menawan hati rakyat dari Perlis sehingga ke Sabah.

Golongan media pula pasti akan terkenang keprihatinan serta kasih sayang yang ditunjukkan baginda Al-Sultan Abdullah apabila baginda berkenan belanja makanan buat para wartawan dan petugas yang kesibukan membuat liputan di pintu Istana Negara ketika negara berdepan pergolakan politik sekitar 2020.

Sesungguhnya sepanjang lima tahun tempoh baginda bersemayam di takhta Agong, Malaysia berdepan pelbagai cabaran berat meliputi politik dan pandemik, namun melihat wajah tenang baginda, rakyat ikut tenang.

Serumit mana pun kemelut siasah, kita tidak begitu gundah kerana penghujungnya ada sosok Agong yang diyakini adil dan kebijaksanaannya menjadi lembayung.

Penulis berdoa agar Tuanku berdua terus dalam perlindungan dan rahmat Allah serta dalam keafiatan. Menjunjung kasih atas segala budi dan titah Tuanku. Dirgahayu Tuanku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN