BILBAO – Pengendali Barcelona, Xavi Hernandez kini berdepan detik sukar selepas beliau dikatakan berada di ambang pemecatan susulan kekalahan 2-4 kepada Athletic Bilbao pada suku akhir Piala Raja Sepanyol awal pagi semalam.
Spekulasi itu tercetus selepas Xavi, 44, tersingkir daripada dua kejohanan dalam tempoh 10 hari selepas terdahulu pasukannya dikecewakan 1-4 oleh Real Madrid dalam aksi final Piala Super Sepanyol pada 15 Januari lalu.
The Catalans juga tidak mengharungi kempen memberangsangkan dalam saingan La Liga meskipun berada di tangga ketiga ketika ini, tetapi ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Girona.
“Saya katakan sekali lagi, jika kami tidak berada pada tahap kompetitif terbaik di penghujung musim, saya sendiri akan meninggalkan pasukan ini,” kata Xavi.
Barcelona bermula langkah kiri pada aksi di Stadium San Mames apabila melepaskan gol seawal minit pertama daripada Gorka Guruzeta sebelum Robert Lewandowski dan Lamine Yamal memastikan The Catalans mendahului 2-1.
Athletic bangkit menyamakan kedudukan menerusi Oihan Sancet pada minit ke-49 sebelum perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan apabila kedudukan terikat 2-2 selepas 90 minit.
Pasangan adik-beradik, Inaki dan Nico Williams memastikan kemenangan buat Athletic dengan dua gol dalam masa tambahan tersebut, sekali gus melayakkan tuan rumah ke separuh akhir musim ini.
“Saya kecewa dengan keputusan ini, tetapi saya gembira dengan persembahan yang dipamerkan oleh pemain-pemain muda. Malangnya, kami tewas kepada pasukan bagus seperti Athletic,” jelas Xavi. – AGENSI















