KULIM – Seorang warga emas di Kampung Sedim, di sini, berbangga kerana memiliki koleksi syiling lama yang ditemuinya kira-kira 40 tahun lalu.
Menurut Abdullah Sharif, 73, dia menemui enam keping syiling termasuk dolar selat satu sen yang dikeluarkan pada tahun 1862 ketika membersihkan rumah ibu bapanya.
“Ketika itu saya membersihkan rumah keluarga yang terletak tidak jauh dari Sungai Sedim.
“Tiga hari kemudian syiling ini timbul bersama batang besi. Ramai yang kata jangan ambil, tetapi saya tetap ambil dan simpan sampai hari ini.
“Duit syiling ini berasal dari India, British dan Thailand. Syiling lain saya tidak dapat kenal pasti kerana cetakannya sudah kabur,” katanya ketika ditemui di Kampung Sedim semalam.
Menurut Abdullah, dia merahsiakan penemuan syiling itu sejak empat dekad lalu termasuk daripada pengetahuan ahli keluarganya dan mereka hanya mengetahuinya semalam.
“Duit syiling ini saya simpan untuk kenangan dan akan mewariskannya kepada anak-anak. Saya tidak tahu berapa nilainya dan tidak berhasrat untuk menjualnya.
“Ada yang mencadangkan supaya saya pergi ke premis berkaitan untuk membuat penilaian, tetapi saya masih belum berbuat demikian,” ujarnya.
Tambahnya, Kampung Sedim kaya dengan sejarah dan dia percaya syiling tersebut merupakan sebahagian daripada barang peninggalan lama.














