AKSI skuad bola sepak kebangsaan pada perlawanan Piala Asia 2023 sangat dinanti-nantikan oleh penyokong tempatan yang mahu Harimau Malaya mengharumkan nama negara.
Selepas menamatkan kemarau penantian 44 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit, tumpuan kini beralih kepada prestasi pasukan bagi mencapai sasaran layak ke pusingan 16 terbaik.
Untuk rekod, Malaysia telah layak ke Piala Asia bermula pada tahun 1976 di Iran dan diikuti pada 1980 di Kuwait. Itulah kali terakhir kita layak secara merit.
Pun begitu, skuad Harimau Malaya pernah beraksi di Piala Asia pada 2007 menerusi tiket tuan rumah bersama dengan Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Pada kejohanan kali ini, Malaysia berada dalam Kumpulan E dan bakal menentang Jordan pada 16 Januari ini, diikuti Bahrain (20 Januari ) dan juara dua kali, Korea Selatan (25 Januari).
Sebagai pasukan ‘comeback’ selepas beberapa dekad, Harimau Malaya berdepan tugas berat untuk mencapai sasaran layak ke pusingan 16 apabila berdepan pesaing hebat dalam kejohanan itu.
Meskipun begitu, rata-rata peminat bola sepak tempatan percaya skuad bimbingan jurulatih Kim Pan-gon mampu mencipta sensasi di bumi Qatar.
Bagi mengulas perkara itu, wartawan Kosmo! Ahad, Ghazali Alias menemu bual Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd. Amin untuk berkongsi pandangan beliau.
Kosmo! Ahad: Setelah kali terakhir Malaysia beraksi pada Piala Asia secara merit pada 1980, selain pernah beraksi pada tahun 2007 sebagai hos bersama, kini Malaysia kembali ke pentas kejohanan ini secara merit. Kalau kita sorot, semasa aksi 2007 itu, Malaysia tewas dalam kesemua perlawanan. Bagaimana Datuk melihat peluang Harimau Malaya untuk menempa sejarah pada Piala Asia kali ini?
Hamidin: Setelah 44 tahun, kita layak kembali ke Piala Asia dan saya rasa ia merupakan satu sejarah selepas begitu lama kita tidak beraksi di peringkat ini.
Mengenai peluang di Piala Asia, kita mahu sebolehnya Harimau Malaya dapat menempa sejarah kembali melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik.
Namun begitu, saya akui, ia bukanlah tugas mudah kerana semua pasukan bertanding merupakan yang terbaik. Jadi, sebolehnya kita cuba untuk capai sasaran iaitu pusingan 16.
Bagaimana keadaan dan ‘mood’ semasa pasukan menghadapi aksi pembuka tirai Piala Asia menentang Jordan pada 16 Januari ini?
Kalau dilihat keadaan pasukan dari 31 Disember lalu selepas sampai ke Doha hingga selepas menentang Syria baru-baru ini, saya fikir ‘mood’ pemain dan jurulatih berada dalam keadaan cukup tinggi untuk menentang Jordan.
Mereka juga dilihat begitu bersedia untuk memberi saingan kepada Jordan.
Apa pandangan Datuk mengenai keputusan Arab Saudi dan Roberto Mancini membatalkan aksi persahabatan menentang Harimau Malaya?
Saya rasa keputusan Arab Saudi dan Roberto Mancini membatalkan aksi persahabatan adalah kerana mereka (jurulatih) selalu memikirkan tentang teknikal.
Namun begitu, apabila Harimau Malaya sudah ditetapkan bertemu mereka (Arab Saudi) sebelum ini oleh jurulatih lama, kita terpaksa menerima bahawa beliau berpendapat, ada kemungkinan mereka bakal beraksi menentang Malaysia di pusingan 16.
Hal ini bukanlah mandatori untuk Arab Saudi membatalkan aksi persahabatan kerana kita harus fikirkan dari aspek teknikal jurulatih baharu yang dilantik mereka.
Beralih mengenai perkembangan bola sepak semasa, mengulas mengenai program naturalisasi dan keturunan. Adakah Datuk setuju bahawa Harimau Malaya memerlukan kumpulan pemain ini untuk maju ke depan dan adakah program ini akan berterusan? Ada pihak mendakwa, kumpulan pemain ini menyekat peluang pemain tempatan beraksi di peringkat antarabangsa.
Pemain-pemain ‘heritage’ yang dipanggil dalam skuad kebangsaan, ia bergantung kepada jurulatih, Kim Pan-gon.
Perlu diingat, pemain-pemain ini perlu menunjukkan prestasi memberangsangkan di kelab-kelab mereka sebelum dipilih sebagai pemain kebangsaan atau tidak.
Bagaimana untuk kita pastikan Harimau Malaya sentiasa beraksi dan tidak terlepas beraksi di pentas Piala Asia secara merit selepas ini?
Pada pendapat saya, kita perlu melakukan persediaan awal supaya pemain-pemain yang berumur 18 hingga 19 tahun dapat beraksi untuk Malaysia pada masa depan.
Kita juga perlu pastikan pemain-pemain yang mungkin agak berusia, tidak boleh bermain pada pusingan seterusnya Piala Asia, maka kita perlu ada pengganti mereka bermula dari sekarang.
Jurulatih dan ahli pasukan kebangsaan perlu memantau bakat baharu supaya ada pengganti bila sampai masa untuk pusingan seterusnya.
Apa pandangan Datuk terhadap potensi pemain-pemain negara menunjukkan bakat mereka supaya ‘dipancing’ kelab luar negara?
Saya percaya bahawa potensi pemain negara tinggi kerana kita tahu kelab-kelab dari Eropah dan mana-mana negara di dunia akan ada kumpulan pemerhati atau penyelidik.
Mereka ini akan memantau pemain-pemain bukan sahaja di Malaysia, tetapi semua negara terutama bakat muda yang mereka ingin ‘pancing’.
Jadi, platform terbaik untuk pemain-pemain kalau mereka bercita-cita lebih tinggi untuk menunjukkan prestasi terbaik adalah di Piala Asia kali ini.














