fbpx
Orang ramai asyik melihat persembahan air pancut dengan pertunjukan LED dan paparan animasi 3D yang sangat kreatif hasil kreativiti anak tempatan di Taman 99 Wonderland di Batu Caves baru-baru ini.

JL99 Group labur RM80 juta bangunkan projek Taman 99 Wonderland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kejayaan ‘orang kuat’ bagi sesebuah syarikat yang terlibat dalam bidang hartanah bukan sahaja terletak pada perkembangan terbaharu projek kediaman yang siap dibina mengikut masa ditetapkan dan mencapai jualan menggalakkan tetapi juga kepuasan membina projek unik yang mendekatkan diri kepada alam, haiwan dan juga masyarakat.

Itulah yang dilakukan oleh Pengerusi Eksekutif JL99 Group, Datuk Seri Jeff Lee yang sanggup melabur sehingga RM80 juta da­ripada simpanan sendiri untuk membangunkan Taman 99 Wonderland yang terletak di Batu Caves sejak empat tahun lalu.

Tanpa mengira keuntungan daripada projek pembinaan itu, beliau telah bekerjasama dengan Perhilitan untuk meminjam beberapa binatang ke taman tersebut seperti buaya tembaga, beruang matahari dan tapir selain menempatkan binatang lain dalam kandang yang mesra pengunjung bagi membolehkan mereka melihat dengan dekat serta boleh bermesra dengan binatang.

“Saya suka buat perkara ini (bangunkan projek), dulu tempat ini terbiar, banyak ular, biawak dan jadi tempat penagih dadah. Jadi saya ambil keputusan untuk bersihkan tempat ini sehingga menjadi satu taman yang cantik.

“Setiap inci kawasan di sini saya akan rancang dan saya tahu apa yang ada di situ, setiap bulan saya akan datang ke sini dan melihat pekerja uruskan taman ini agar ia sentiasa terjaga. Saya berpuas hati dengan apa yang ada di taman ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi lawatan ke taman tersebut dengan me­nyaksikan Musical Dancing Fountain dengan Animasi 3D bertajuk 99 Wildlife Magical Adventure baru-baru ini.

Lee menerangkan, pada waktu malam taman rekreasi itu akan bertukar indah dengan persembahan air pancut berwarna-warni selain selingan lagu rancak mengikut gerak tari air tersebut selain pertunjukan LED dengan paparan animasi 3D selama hampir 20 minit.

Seni kreativiti itu telah dipertingkatkan dari semasa ke semasa sejak beberapa tahun lalu dan ia dipertontonkan kepada orang ramai pada setiap malam tetapi pertunjukan LED dengan animasi 3D pula ditayangkan pada hujung minggu dan cuti umum.

“Sebelum ini kami telah mengeluarkan belanja kira-kira RM10 juta untuk pertunjukan air pancut dan sehingga sekarang ia telah mencecah kepada hampir RM16 juta.

“Kita akan tambah baik pertunjukan tersebut dan ubah konsep penceritaannya pada masa akan datang mungkin dalam tempoh dua tahun akan datang,” jelasnya.

Mengulas mengenai projek hartanah sedia adanya, Boon Kiat yang terkenal dengan projek hartanah yang memiliki nama 99 dalam setiap projek pelancarannya seperti 99 Legend, 99 Residence melihat kenaikan kos sehingga 40 peratus telah memberi kesan kepada syarikat untuk merekodkan kadar keuntungan yang sangat minimum.

“Isu ini bukan kami sahaja yang mengalaminya tetapi kepada semua pemaju hartanah, kami tidak bercadang untuk menaikkan harga rumah kerana kami tahu bukan sahaja orang ramai malah kakitangan kami sendiri tidak mampu nak membeli rumah.

“Sehubungan itu, kami akan melaksanakan inisiatif terbaharu untuk memudahkan mereka membeli rumah dan bantu mereka memiliki sedikit wang untuk tujuan ubah suai rumah,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN