fbpx
Gambar hiasan

Azam 2024 jadi kurus atau kekal obesiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“Azam tahun 2024 nak kurus, bersenam setiap hari dan mahu makan makanan rendah kalori.”

Itu antara azam yang sering didengar setiap kali tirai tahun baharu dibuka.

Namun, dalam masa sama, penulis mendapati setiap hari ada sahaja tambahan peniaga baharu yang muncul menawarkan makanan viral, sekali gus menyumbang kepada keghairahan orang ramai untuk makan dengan banyak.

Kehadiran peniaga-peniaga ini sememangnya lubuk utama untuk mendapatkan pelbagai aneka makanan, malah di tempat bersukan juga sering muncul gerai-gerai kecil yang menawarkan menu segera.

Tidak dinafikan, makanan adalah sumber keperluan utama untuk manusia kekal hidup, namun berapa ramai yang berpegang pada prinsip berhenti sebelum kenyang?

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2019 mendapati, kira-kira 50.1 peratus rakyat negara ini mempu­nyai masalah berat badan berlebihan, sekali gus mencatatkan kadar prevalen tertinggi dalam kalangan penduduk Asia Tenggara.

Selain orang dewasa, golo­ngan kanak-kanak dan remaja juga menjadi penyumbang besar kepada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang gemuk.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, Malaysia kini menduduki tempat kedua ter­tinggi bagi obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Asia Tenggara.

Katanya, penemuan ini amat membimbangkan kerana ia menunjukkan trend yang semakin meningkat.

“Hasil kajian NHMS menunjukkan peningkatan prevalen berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak berumur 13 hingga 17 tahun daripada 24.6 peratus pada 2012 kepada 30.5 peratus pada 2022.

“Kanak-kanak yang berlebihan berat badan atau obes be­risiko menghidap penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan seperti diabetes dan hipertensi,” jelasnya.

Selain itu, Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan lalu mendedahkan sebanyak 42 peratus daripada 600,000 pekerja di Malaysia yang menjalani Saringan Kesihatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau HSP tahun lalu dikenal pasti mengalami masalah obesiti.

Terbaharu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, hasil pelaksanaan Banci Ekonomi 2023 (bagi tahun rujukan 2022) melibatkan 1.2 juta pertubuhan di Malaysia mendapati subsektor makanan dan minuman menyumbang 14.4 peratus kepada ekonomi negara.

Sebelum ini, Persekutuan Obesiti Dunia meramalkan lebih separuh penduduk dunia akan dikategorikan sebagai obes menjelang tahun 2035 berpandukan hobi ‘kuat makan’.

Hasil beberapa kajian kesihatan yang dilaporkan itu jelas menunjukkan bahawa k­esedaran rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat masih rendah apabila ‘pelaburan’ ke atas pembe­lian makanan kekal tinggi.

Penulis juga percaya, setiap tahun antara azam tahun baharu rakyat Malaysia adalah mahu kurus, tetapi percayalah juga ramai yang ‘hangat-hangat tahi ayam’ dan membawa impian tersebut ke tahun seterusnya.

Menjadi satu persoalan, adakah tahun 2024 rakyat Malaysia akan kekal menjadi penyum­bang manusia gemuk di dunia atau beralih kepada aktiviti senaman dan pemakanan sihat untuk jadi lebih sihat?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN