PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima petunjuk baharu daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berkaitan kes bunuh kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, maklumat tersebut diperoleh susulan semakan pangkalan data Interpol.
“Pihak polis ada terima (maklumat daripada Interpol), tapi masih dalam siasatan lanjut,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Dalam pada itu, menurut Hussein, meskipun sudah memiliki petunjuk baharu namun siasatan masih tertumpu di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai di sini.
Jelasnya, pihaknya masih menjalankan siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan termasuk operasi pencarian bukti baharu.
“Siasatan polis masih di lokasi sama,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis meminta bantuan Interpol bagi membantu siasatan kes Zayn Rayyan yang dipercayai dibunuh selepas ditemui di sungai berhampiran kediamannya.
Susulan bantuan daripada Interpol, PDRM meletakkan fokus mengesan prime crime scene atau tempat kejadian jenayah pertama di mana lokasi sebenar Zayn Rayyan dibunuh.

Sepanjang kes ini dijalankan, PDRM telah merakam keterangan 225 individu, selain mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu, namun tiada keputusan positif direkodkan.
Pada 6 Disember lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia selepas 30 jam dilaporkan hilang di kawasan sungai berhampiran kediamannya pukul 10 malam.
Siasatan kes kematian kanak-kanak itu mengikut Seksyen 302 (bunuh) selepas menemui kesan kecederaan pada bahagian leher mangsa.
Sementara itu, ibu mangsa, Ismanira Abdul Manaf, 28, menerusi luahan di InstaStory miliknya berdoa semoga pelaku yang menyebabkan dirinya kehilangan anak segera ditahan dan seterusnya menerima hukuman yang setimpal.
“Genap sebulan pemergian anak sulung mommy, sungguh mommy rindu pada awak nak”. Semoga ada sinar buat Zayn. Semoga pelaku tu cepat ditemui dan diberikan hukuman yang setimpal, amin,” katanya semalam.
Dalam hantaran sama, ibu kepada dua anak itu turut mengimbau kembali saat dirinya mencium anak kesayangannya buat kali terakhir di Bilik Forensik, Hospital Sungai Buloh.
Katanya, ketika Allahyarham masih hidup, dirinya tidak pernah melepaskan peluang untuk memeluk dan mencium kedua-dua anak lelakinya.
“Pipi Zayn lembut sangat. Kali terakhir mommy dapat cium pipi Zayn di Bilik Forensik, pipi Zayn masih lembut. Sama je macam Zayn mula-mula lahir.
“Mommy pegang kepala Zayn lama-lama, mommy cium perut Zayn juga masa tu. Sebab memang hari-hari mommy suka cium dan geletek perut Zayn,” luahnya.















