fbpx

Signal kenderaan bukan hiasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“Tahun sahaja baharu, (sikap) orang masih sama tidak reti pakai signal.”

Itu keluhan yang diterima rakan penulis pada hari pertama Tahun Baharu 2024.

Jika diperhatikan, butang laras bagi lampu isyarat atau signal yang disediakan syarikat pengeluar kenderaan begitu mudah, pemandu hanya perlu menggunakan jari untuk meng­aktifkannya.

Namun masih ramai yang terlepas pandang fungsinya sebagai ‘alat komunikasi’ dengan pengguna lain di jalan raya.

Mana-mana pengguna jalan raya pastinya mengeluh panjang sekiranya berdepan dengan pemandu yang menukar lorong atau memasuki simpang tanpa memberikan signal.

Penunggang motosikal pas­tinya berasa marah apabila ada pemandu kenderaan yang tidak memberikan signal, begitu juga sebaliknya pemandu akan marah jika penunggang menyelit.

Tinjauan ke atas lebih 200 individu mendapati tabiat pemandu paling dibenci adalah tidak memasang isyarat lampu sebelum membelok atau menukar laluan diikuti memandu perlahan di lorong kanan.

Kajian Kumpulan Penyelidikan Ergonomik, Jabatan Kejuruteraan Mekanik, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia pula mendapati hampir 80 peratus pemandu wanita tidak memberikan isyarat ketika berhenti di persimpangan jalan dan me­nukar lorong di lebuh raya.

Mengulas perkara itu, Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Selangor, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, pengguna sepatutnya memahami kepentingan signal yang disediakan pada jentera masing-masing bukannya hia­san semata-mata.

“Alat itu bertindak membe­ritahu arah seterusnya memudahkan mereka yang berada di belakang, kiri atau kanan supaya peka dengan tindakan kita.

“Alasan popular bagi mereka yang tidak mahu menggunakan signal adalah remeh dan membahayakan. Signal perlu diberikan dalam tempo tertentu. Jika terlalu lama, orang akan keliru dan jika terlalu cepat akan membahayakan pengguna lain.

“Perlu diingatkan, jalan raya perlu dikongsi dan sikap timbang rasa serta memahami antara satu sama lain adalah penting bagi mengharmoniskan perjalanan kita,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau mengakui mereka yang memiliki lesen kereta dan motosikal lebih matang di jalan raya berbanding satu ka­tegori.

“Ini kerana ada sesetengah pemandu kereta beranggapan penunggang motosikal menyusahkan. Mereka berpandangan penunggang tidak sepatutnya menggunakan laluan sama. Begitu juga penunggang yang marah jika tidak diberikan laluan.

“Jadi, jika ada lesen dua kenderaan itu sudah pasti mereka memahami situasi menjadi penunggang atau pemandu kereta,” ujarnya.

Jelasnya, paling penting adalah bertimbang rasa bagi memastikan wujud persefahaman atau ‘sebulu’ antara pengguna jalan raya meskipun membawa jentera yang berlainan.

“Ini termasuk jika kita berada di belakang lori atau treler dengan kebanyakan kita pas­tinya mahu memotong dengan segera. Namun perlu waspada isyarat diberikan pemandu jentera berat,” katanya.

Kesalahan tidak menggunakan signal boleh dikenakan tindakan saman di bawah kaedah (3) lalu lintas 1959 LN 166/59 berjumlah RM300.

“Jika menjurus kepada kemalangan serius, pengguna jalan raya boleh disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN