KUALA LUMPUR – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka sebanyak 5,969 Kertas Siasatan Tatatertib (KST) kepada anggota yang terlibat salah laku bagi tempoh 2021 hingga 2023.
Ia termasuk kesalahan membabitkan integriti, governans, rasuah, dadah, jenayah, jenayah syariah dan mengunjungi pusat hiburan.
Menurut sumber JIPS, jumlah tertinggi kesalahan direkodkan adalah membabitkan integriti dengan angka 3,334 KST bersamaan 55.85 peratus yang merujuk kepada kesalahan antaranya kawalan disiplin, pelanggaran tata kelakukan dan pemilikan harta.
“Kedua adalah siasatan selari berkaitan kesalahan jenayah sebanyak 977 KST atau 16.36 peratus dan seterusnya adalah berkaitan penyalahgunaan dadah sebanyak 740 KST atau 12.39 peratus,” katanya kepada Kosmo!.
Bagaimanapun, menurut sumber, berlaku tren penurunan angka mereka yang terlibat dengan salah laku apabila sebanyak 2,162 KST direkodkan pada tahun 2021 diikuti 1,,986 KST (2022) dan 1,821 KST (2023).
Mengulas mengenai tindakan yang bakal diambil terhadap anggota, sumber berkata, sebelum tindakan diambil siasatan yang lebih teliti diperlukan berlandaskan peraturan dan prosedur yang ditetapkan.
Katanya, terdapat tujuh hukuman yang boleh dikenakan di bawah peraturan 38 iaitu amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat, dan terakhir adalah buang kerja.
“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan telus agar tiada pihak teraniaya dan memastikan sistem keadilan selari dari sudut peraturan pasukan, undang-undang sedia ada selain siasatan yang jitu jika terdapat penglibatan melibatkan elemen jenayah.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota polis yang terlibat dalam salah laku sama ada jenayah, rasuah, dadah, mahupun kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.
Dalam jumlah tersebut, turut direkodkan sebanyak 95 anggota dikenakan tindakan tatatertib kerana megunjungi pusat hiburan membabitkan 18 Pegawai Kanan Polis (PKP) dan 77 anggota Pegawai Rendah Polis (PRP).
Pecahan umur antara 19 hingga 35 tahun merekodkan jumlah tertinggi apabila 61 anggota diambil tindakan tatatertib akibat berkunjung ke pusat hiburan, manakala usia 36 hingga 45 tahun (26 orang) dan 46 tahun hingga 60 tahun (8 orang)
“Hasil siasatan terhadap anggota yang terlibat mendapati mereka bertindak demikian antara lain kerana ingin menghilangkan tekanan kerja dan beban tugas selain berjumpa dengan informan bagi memberikan maklumat berkaitan kegiatan haram atau pelacuran.
“Dalam tempoh tersebut hukuman tatatertib dikenakan pada dua orang anggota Sarjan Mejar (SM), Sarjan (4), Koperal (18), Lans Koperal (24), Konstabel (17) dan pekerja sokongan (12),” katanya.
Sumber turut menegaskan lagi, tanggungjawab sepenuhnya kini diletakkan kepada pegawai penyelia sekiranya terdapat anggota di bawah pemerhatian terlibat melakukan kesalahan yang mencemarkan imej pasukan pihak polis.
















