fbpx
SELEKTIF tetapi bukan pilih bulu, Si-wan hanya mahu melakonkan watak yang mampu mencabar kemampuan dan membawanya keluar daripada zon selesa.

Tuah awet muda, Yim Si-wan laris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEDEKAD bergelar anak seni, Yim Si-wan antara aktor yang berjaya menempatkan diri sebaris dengan pelakon ternama Korea Selatan lain.

Belum berada dalam kelompok pelakon berkelas A, namun setiap naskhah lakonannya tidak pernah gagal mendapat tempat dalam kalangan pencinta drama Korea.

Emergency Declaration dan Unlocked antara filem lakonan Si-wan yang paling meninggalkan impak di hati peminat.

Sementara, Summer Strike, The Merciless dan Hell Is Other People pula antara drama popular diterajuinya sehingga meraih rating tinggi.

Tidak hanya filem atau drama, setiap watak yang dipegang Si-wan juga bukan biasa-biasa.

Boleh dikatakan hampir kesemua watak yang dijayakan adalah berbeza sehingga membiakkan pujian ramai.

Kini, dia sekali lagi mengulang kejayaan tersebut menerusi drama bergenre komedi, Once Upon A Boyhood.

Kerap dilabel sebagai pelakon yang bijak memainkan setiap peranan, Si-wan sebaliknya memberitahu karakter Jang Byeong-tae dalam drama tersebut bukan perkara yang mudah.

Komedi

Kongsinya, itulah kali pertama dia menjayakan watak komedi dan mengakui agak sukar pada peringkat awal.

“Memang sudah lama teringin untuk menjayakan karakter komedi dan apabila diberikan tawaran, saya tidak lagi menoleh ke belakang.

“Realitinya tidak mudah tetapi lama-kelamaan, semuanya menjadi mudah dan minat saya terhadap genre komedi juga bercambah,” katanya.

TIDAK sesekali melupakan kerjaya pertamanya sebagai penyanyi, Si-wan bakal melancarkan sebuah single baharu dalam tempoh terdekat.

Ujar anak kelahiran Busan itu, membuat penonton ketawa sungguh bukan hal enteng dan pelakon tidak boleh bergantung terhadap skrip semata-mata.

“Apabila baca skrip memang rasa kelakar tetapi selepas dilakonkan, jadi sebaliknya.

“Saya tidak mempunyai bakat melawak dan awalnya agak tertekan.

“Jadi, saya buat keputusan tidak terlalu berlebih-lebih dan kekal dalam zon selesa supaya penonton tidak meluat,” tuturnya.

Pada usia 34 tahun, Si-wan turut berterima kasih kepada pengarah kerana masih memberinya peluang menyarungkan uniform sekolah.

Tidak berasa tertekan sebaliknya dia beruntung kerana wajah dan fizikalnya masih mengizinkannya dirinya beraksi sebagai remaja belasan tahun.

“Ini sebuah penghargaan dan ibarat ‘membelah’ usia saya ketika ini menjadi dua.

“Lebih membuatkan rasa terharu, saya berjaya melepasi uji bakat dan mengalahkan pelakon berusia belasan tahun lain.

“Jadi, tiada masalah untuk saya jayakan watak pelajar sekolah dan tidak kisah dengan tanggapan orang lain juga,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Si-wan mengakui kerap menerima pujian mengenai rupa parasnya yang kelihatan muda berbanding usia.

“Pujian sebegitu membuatkan saya lebih bersemangat untuk menjaga kesihatan dan penampilan diri.

“Bukanlah dengan melakukan sebarang rawatan tetapi lebih kepada menjaga diet pemakanan, urutan dan senaman sebagai langkah melewatkan proses penuaan.

“Lebih baik mengalami proses penuaan secara semula jadi.

“Seboleh-boleh mahu mengelak daripada melakukan rawatan anti penuaan yang saya dengar tidak begitu berkesan,” ujarnya yang juga seorang penyanyi.

DIBERI kepercayaan melakonkan watak pelajar sekolah dalam naskhah Once Upon A Boyhood menjadi satu penghargaan buat Si-wan yang kini berusia 34 tahun.

Memilih

Menyelusuri semua watak yang dijayakan sebelum ini, kebanyakannya sangat berat dan mencabar.

Pelakon yang popular menerusi drama Run On itu bertegas tidak akan sesekali menerima tawaran yang akan merosakkan atau mencalar reputasi kerjaya seni lakonannya.

“Sebelum setuju untuk mana-mana tawaran, saya akan membuat pertimbangan sama ada mampu atau tidak untuk melakukannya.

“Saya mahu menampilkan sesuatu yang berbeza dalam setiap karakter dan ingin jadi pelakon versatil.

“Saya tetap mahu menyahut setiap cabaran diberi dan itulah cara saya untuk terus hidup sebagai pelakon iaitu dengan pembuktian,” tuturnya lagi.

Sempat berkongsi tentang drama fenomena Squid Game 2 yang turut dibintanginya, Si-wan teruja terpilih berlakon bersama dengan aktor hebat lain seperti Wi Ha-joon, Lee-Jung-jae, Kang Ha-neul dan Gong Yoo.

“Sehingga hari ini saya masih tidak percaya. Bukan kerana drama ini popular tetapi disebabkan amat meminati genrenya.

“Berada dalam musim kedua ini sangat menyeronokkan dan pastinya akan terdapat banyak kejutan.

“Saya juga yakin musim kedua akan lebih hebat dan mendebarkan serta mampu meledak seperti musim pertama,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN