fbpx
DALAM sekelip mata, populariti aktor muda, Ed Mcvey meroket selepas memikul peranan sebagai pewaris takhta Britain, Putera William dalam naskhah popular, The Crown

Tuah berwajah pewaris takhta Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIBERI kepercayaan menggalas watak dalam sebuah naskhah hebat antarabangsa adalah impian yang sentiasa dikejar setiap pelakon.

Tidak semua orang memiliki peluang tersebut, lebih-lenih lagi berjaya pula sebaris dengan pelakon ternama lain. Semua itu bukan lagi sesuatu yang mustahil buat si jejaka tampan, Ed Mcvey apabila tersenarai sebagai keluarga The Crown menerusi Netflix.

The Crown musim keenam merupakan debut buat Mcvey sebagai pelakon, sekali gus meledakkan namanya apabila diberi tanggungjawab menggalas peranan pewaris takhta Britain iaitu Putera William dalam naskhah tersebut.

BUKAN sahaja mendekati karakter sebenar Putera William, Ed Mcvey juga mengambil kira protokol kehidupan diraja Britain demi The Crown.

Si putera

Tidak pernah meletakkan harapan tinggi, Mcvey benar-benar terkejut apabila terpilih memainkan watak William selepas hampir enam bulan melalui proses uji bakat.

Akuinya, sepanjang tempoh 24 tahun, dia tidak pernah menyedari wajahnya boleh kelihatan seperti William pada usia remaja iaitu awal 20-an.

“Sangat gementar kerana ini drama popular, namun tidak menyangka menjadi naskhah sulung saya sebagai pelakon dan memang sangat terkejut apabila diterima untuk watak besar itu.

“Sebenarnya tidak sangka pengarah melihat rupa paras saya ada persamaan dengan ciri-ciri seperti William, termasuk cara pandangan dan senyuman. Mungkin inilah dikatakan rezeki,” katanya.

Bercerita lanjut tentang pendekatan mempersembahkan karakter William, Mcvey melakukan banyak ‘kerja rumah’.

Dia mempelajari setiap gerak badan dan cara pemikiran anak sulung pasangan diraja Raja Charles III dengan mendiang Puteri Diana itu.

Graduan Akademi Drama London itu turut mengakui, karakter, emosi dan kehidupan William sangat kompleks untuk diselami.

BERADA dalam The Crown di samping barisan pelakon terkenal dunia disifatkan sebagai mimpi jadi kenyataan buat Mcvey.

“Pada awalnya agak sukar tetapi selepas beberapa bulan menyelami kehidupan William, saya dapat rasakan kami mempunyai persamaan seperti mengutamakan orang lain mengatasi diri sendiri.

“Titik persamaan itu membuatkan saya semakin mudah untuk menjadi William. Saya juga turut mempunyai guru vokal yang mengajar intonasi suara seperti William.

“Perkara tersebut nampak kecil tetapi impaknya besar untuk karakter tersebut,” ujar anak muda yang membesar di Devon, England itu.
Mcvey juga bertegas, tidak akan sesekali membiarkan persepsinya terhadap sistem monarki dan kehidupan keluarga diraja Britain mempengaruhi lakonannya.

“Saya bersyukur tidak dibesarkan dalam sebuah keluarga yang anti atau pun promonarki.

“Untuk pengetahuan semua, pertama kali saya didedahkan mengenai keluarga diraja ialah ketika William berkahwin dengan Kate Middleton sekitar 2011.

“Jadi, saya tiada masalah untuk memainkan watak William tanpa sebarang pergelutan dalam diri. Saya hanya melakukan semua berdasarkan hasil ‘penyelidikan’ sendiri,” tuturnya.

Tidak pernah meletakkan sebarang tekanan kepada diri, itu yang ditegaskan Mcvey walaupun menggalas watak figura terkenal dunia.

Dia juga tidak kisah dikritik kerana baginya perkara tersebut dapat mengajar untuk menjadi pelakon yang lebih bagus kelak.

“Saya tidak pernah takut dengan persepsi orang dan drama ini juga sudah disiarkan.

“Jika orang tidak suka, tiada apa yang boleh saya lakukan atau ubah. Saya sudah berikan sepenuh jiwa untuk watak seorang putera kesayangan ramai.

“Selain itu, saya juga tidak mahu terlalu memikirkan tanggapan William mengenai lakonan saya kerana boleh mengganggu cara penyampaian watak,” kongsinya.

ENGGAN terlalu memikirkan kritikan orang ramai tentang cara pembawaan karakter William, Ed Mcvey hanya mahu melunaskan tanggungjawab yang diberikan pengarah terhadapnya dengan cara paling baik.

Populariti

Mengakui The Crown sebagai batu loncatan dalam kerjaya seninya, Mcvey bagaimanapun enggan terburu-buru dalam mengejar populariti mahupun tamak merebut semua tawaran lakonan.

“Sebelum ini, saya juga kerap diberitahu bahawa hidup akan berubah tetapi saya tidak tahu bagaimana perkara itu terjadi dan enggan terlalu memikirkannya.

“Kini, disebabkan The Crown, populariti itu sudah hadir, namun saya enggan menjadikannya sebagai alasan untuk mendabik dada apatah lagi lupa daratan.

“Saya juga tidak mahu angkuh dengan populariti yang dimiliki ini dan enggan menjadi pelakon yang tamak sehingga melupakan prinsip sendiri,” katanya.

Pada masa sama, Mcvey juga bercita-cita mahu beraksi dalam naskhah arahan pengarah-pengarah tersanjung seperti Christopher Nolan dan Safdie Brothers.

Dia juga berharap The Crown mampu membuka mata banyak pihak mengenai bakat yang dimiliki selain mampu kekal meneruskan kelananya sebagai pelakon.

“Tiada sebarang sasaran utama ketika ini tetapi pastinya saya mahu terus ‘berhubung’ dengan dunia lakonan dan mahu mencuba persembahan teater sekiranya diberikan peluang.

“Bagi saya, lakonan cukup istimewa dan memberi kegembiraan.

“Perkara itu mampu membawa kita ke dalam dunia berbeza dan lebih gembira apabila lakonan tersebut memberi pengalaman pertama kepada penonton,” jelasnya.

SELAIN cara pertuturan dan gerak badan, Ed Mcvey sanggup mengubah gaya rambutnya agar kelihatan sama seperti William.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN