ALUNAN muzik sayu keluar daripada alat muzik pensol (seruling hidung) yang dihembus oleh lelaki Orang Asli daripada suku Semai itu.
Jari-jemarinya ligat berganti-ganti menutup dan membuka lubang pada buluh berukuran 44 sentimeter (cm) itu.
Biarpun tidak memiliki lirik mahupun persembahan dari segi ekspresi, namun ia dapat menyentuh hati tetamu yang hadir.
Irama lagu bertajuk Kinta itu jelas menterjemahkan kesedihan alam di Lembah Kinta, Ipoh, Perak setelah kawasan itu tercemar akibat kerakusan manusia.
Tepukan gemuruh kedengaran saat pemuzik pensol bernama Ronnie Bahari itu mengakhiri persembahannya dengan linangan air mata.
Menurut Ronnie, ilham melodi tersebut timbul saat dia turun ke Lembah Kinta untuk merakam gambar alam bagi sebuah dokumentari berkenaan kawasan tersebut.
“Ketika saya merakam setiap sudut Lembah Kinta termasuk gua, sungai dan hutan berdekatan, saya dapati kawasan tersebut semakin tercemar akibat penerokaan tidak terkawal.
“Tiba-tiba, saya terasa alam seakan-akan meminta saya untuk menyampai kesedihan mereka kepada masyarakat umum.
“Alam di situ sedih kerana kawasan itu rosak ekoran sikap tidak bertanggungjawab manusia,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Ronnie yang juga Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Orang Asal Perak itu ditemui pada program ‘Tanah itu Selamanya’ di pusat beli-belah komuniti kreatif GMBB, Kuala Lumpur.
Pada program itu, lelaki yang juga merupakan guru pensol memainkan peranan memperkenalkan alat muzik tradisional Orang Asli kepada umum.
Secara tradisionalnya, pensol dimainkan oleh lelaki dan wanita suku Semai ketika bersantai pada waktu petang.
Sering kali, alunan muzik pensol dimainkan sebagai salah satu cara untuk mengekspresikan diri mereka kepada orang lain.
Selain itu, pensol dimainkan bersama alat muzik tradisional Orang Asli lain seperti ginggong atau kereb pada hari-hari keraian.
Kata lelaki yang membesar di Kampung Orang Asli (KOA) Batu 12 Gombak, Selangor itu, perjalanannya untuk meraih ilmu berkaitan pensol tidak mudah.
Ini kerana, dia perlu menghadapi cabaran untuk meyakinkan ‘orang lama’ supaya menurunkan ilmu membuat dan memainkan pensol.
“Satu sifat masyarakat Orang Asli, sekiranya sesiapa hendak ‘berguru’, anak murid itu perlu bina hubungan dan ambil hati si guru dahulu.
“Mereka tidak akan turunkan ilmu sewenang-wenangnya.
“Mereka juga hanya akan tunjuk sekali sahaja dan anak murid perlu segera ‘tangkap’ ilmu itu,” jelasnya.
Nekad mengambil langkah berbeza, bapa kepada tiga orang anak itu menganjurkan bengkel pembuatan dan latihan pensol di Balai Penanei (ilmu), Perkampungan Orang Asli Sungai Gapes, Sahom, Kampar, Perak.
Sementara itu, Ronnie turut dipilih sebagai salah seorang tenaga pengajar dalam projek Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Negeri Perak 2023.
Projek yang berlangsung selama tiga hari itu disokong oleh Think City di bawah Geran Pemangkin Ekonomi Budaya. Menariknya, bengkel tersebut disertai oleh ramai peserta berbangsa Cina yang berminat untuk menerokai alat muzik unik itu.
Sepanjang tiga hari bengkel berlangsung, mereka terpaksa meredah hutan untuk cari buluh, membentuk buluh menjadi pensol dan belajar memainkannya.
Kongsi Ronnie, antara cabaran menyertai bengkel tersebut adalah mencari buluh yang sesuai untuk penghasilan bunyi merdu.
“Buluh paling sesuai untuk dijadikan pensol adalah buluh timing. Bagaimanapun, buluh lemang juga boleh dijadikan pensol.
“Setelah itu, buluh itu akan dikorek dan diasah sehingga ia mengeluarkan bunyi merdu,” ujarnya.

Tidak seperti alat muzik konvensional lain, pensol secara tradisinya tidak memiliki ketebalan buluh dan jumlah lubang not yang selaras.
Ini bermakna, tidak ada satu pun pensol yang serupa pernah wujud kerana ia bergantung kepada kreativiti pembuat dan pemainnya.
Namun, cara itu sukar untuk diteruskan kerana komuniti Orang Asli tidak lagi berhibur dengan pensol, sekali gus menyebabkan pembuatannya semakin berkurangan.
Disebabkan itu, Ronnie menyelaraskan teknik pembuatan pensol bagi memudahkan usaha melestarikan instrumen itu serta memudahkan penerimaan dalam kalangan generasi baharu.
Guru berusia 45 tahun itu menetapkan bahawa setiap pensol perlu berukuran lebih kurang 44sm dan memiliki empat lubang sahaja.
Jarak pada setiap lubang ke lubang not pertama lebih kurang 24sm dan jarak setiap lubang seterusnya adalah 5.5sm. Dari jarak antara lubang not akhir ke penghujung pensol adalah lebih kurang 4 hingga 6sm.
Lebih mengagumkan, Ronnie turut memperkenalkan kaedah nombor bagi mewakili lubang not lagu seakan-akan solfege (nota do re mi) dalam muzik konvensional.
Kongsi lelaki yang sudah sedekad aktif bermain pensol itu, teknik pernafasan penting dalam menentukan bunyi yang terhasil.
“Setelah pensol siap, anak-anak murid saya akan diajar dengan cara kawalan nafas agar hembusan pada pensol mengeluarkan bunyi yang dikehendaki.
“Kalau mahu dapatkan not tinggi, hembusan lebih kuat diperlukan berbanding not rendah. Selain hembusan, jari-jemari juga perlu ligat bergerak dan selari dengan hembusan tersebut,” tuturnya.
Kini, Ronnie sedang berusaha untuk menurunkan ilmunya kepada komuniti Orang Asli, biarpun sambutannya kurang memberangsangkan.














