KOTA BHARU – Polis menahan lima lelaki termasuk empat warga Myanmar selepas cuba menyogok anggota di sekatan jalan raya (SJR) Simpang Tiga Alor Hijau, Selising dekat Pasir Puteh Sabtu lalu.
Kesemua lelaki berusia antara 30 hingga 39 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis selepas melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka di SJR itu kira-kira pukul 6.35 petang.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, hasil pemeriksaan di dalam kereta itu, pihak polis merampas wang tunai berjumlah RM1,000 daripada salah seorang lelaki terbabit.
Katanya, empat rakyat Myanmar itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah ketika anggota melakukan pemeriksaan.
“Pada masa sama, salah seorang lelaki Myanmar cuba menyogok anggota polis bagi mengelak daripada menahan mereka.
“Menyedari perbuatan lelaki itu, anggota terbabit memaklumkan kepada lelaki itu, perbuatannya salah disisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shafien, siasatan mendapati, kereta yang dipandu lelaki tempatan itu sedang dalam perjalanan dari Selising ke Kok Lanas sebelum sampai di SJR berkenaan.
Menurutnya, hasil ujian air kencing terhadap seorang lelaki tempatan itu mendapati dia positif dadah jenis Methampetamin.
Katanya, empat lelaki Myanmar itu ditahan reman dibawah Akta Imigresen selama 14 hari sehingga 5 Disember depan.
Ujarnya, warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen dan Seksyen 19(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Tambah Shafien, lelaki tempatan itu pula disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE














